PERKONSIAN terbaharu pelawak Shuk Sahar menerusi video di TikTok telah mengundang tanda tanya orang ramai.

Menerusi video tersebut, Shuk yang berkemeja hitam serta lengkap bersongkok dilihat berada di sebuah mahkamah bersama seorang peguam.

Ia sekaligus memberi bayangan kemelut rumah tangganya dengan isteri, Rossa Sera seperti retak menanti belah yang akan berakhir dengan perpisahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik-serik! Netizen nampak Shuk Sahar ‘kantoi’ curang, keluar berduaan dengan wanita lain! , Isteri Shuk Sahar ‘mengadu’ di media sosial sudah penat pertahankan rumah tangga , Shuk ‘kantoi’ buat hal lagi! Isteri dedah kecurangan suami buat kali kedua , [VIDEO] Shuk Sahar ‘lepaskan’ rumah bernilai RM1.2 juta kepada pemilik baharu, anggap ada yang lebih baik

Lebih menguatkan lagi spekulasi itu, kapsyen Shuk yang seolah memberi bayangan jika perkahwinannya itu tidak dapat diselamatkan lagi.

“Aku bukan jodohnya. Aku titipkan dia lanjutkan perjuanganku. Semoga dipermudahkan segalanya,” tulis Shuk dengan diiringi lagu nyanyian Tri Suaka berjudul Aku Bukan Jodohnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menitipkan kata-kata semangat selain turut memberi nasihat agar belajar daripada kesilapan lalu.

“Setiap manusia ada kesalahan. Andai benar jodoh masih ada, perbetulkan dan hargai. Doa banyak-banyak pada Allah.

“Jodoh yang awak sendiri tolak dan sakitkan.

“Sabarlah Shuk. Semua ini jadikan ‘guru’ anda lepas ini. Anda mampu bangkit dan buat lebih baik lagi lepas ini. Jangan sesekali diulang kesilapan ini lagi,” komen beberapa netizen.

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut sudah meraih hampir 850 ribu tontonan dan 42 ribu tanda suka sejak dimuat naik dua jam lalu.

Selasa lalu, Rossa mengejutkan ramai pihak apabila muncul di program MeleTOP dan mengaku hubungannya dengan Shuk sudah menemui titik penamat.

“Kami dah berbincang untuk ambil keputusan terbaik demi masa depan termasuk anak-anak. Cukuplah sampai di situ sahaja, mungkin saya tak mampu bahagiakan dia.

“Macam mana saya nak bahagiakan orang lain sedangkan saya sendiri disakiti. Kami masih berhubung tapi hanya hal anak-anak sahaja.

“Sehingga satu tahap saya dah tak boleh maafkan dia lagi sebab itu lagi menyakitkan diri saya lagi,” ujar Rossa.

Sekadar info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Qurratu Ain,5, dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berusia 2 tahun.