amalan pada hari arafah

Disebut di dalam beberapa hadis apabila sampai pada hari Arafah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah adalah solat Zuhur berjemaah jamak dan qasar (Zuhur dan Asar). Rasulullah bersabda

“Sebaik-baiknya doa adalah doa hari Arafah dan sebaik-baik perkataan yang aku dan nabi-nabi sebelum ku selalu melafazkan adalah;  Laa ilaaha illallaah wahdahuu laa syariikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ala kulli syaiin qadiir (Tidak ada Tuhan selain Allah yang maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah kekuasaan dan pujian, dan Dia maha kuasa atas segala-galanya). (HR Tirmizi).

Amalan yang penting sekali adalah:

Berzikir. Perbanyakanlah zikir khusus seperti yang disebut di dalam hadis itu ataupun zikir-zikir lain tidak menjadi masalah, hayatinya serta diulang-ulang. Atau boleh juga amalkan zikir yang di sebut Rasulullah lewat hadis-hadisnya seperti:

Daripada Abu Dzar r.a. katanya Rasulullah s.a.w pernah ditanya orang, “Apakah ucapan zikir yang paling afdhal (utama), ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Iaitu ucapan zikir yang dipilih Allah bagi para malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya ialah; Subhanallahi wabihamdihi – (Maha suci Allah dan Maha terpuji Dia).”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa membaca kalimat tahalil: Laa ilaaha illallahu wahdahu la syariikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa alaa kulli syai-in qadiir., sebanyak 100 kali dalam sehari maka dia beroleh pahala sebanyak pahala memerdekakan 10 orang budak (hamba) dan dicatat untuknya 100 kebajikan serta dihapus daripadanya 100 kesalahan (dosa), dan pada hari itu dia terpelihara daripada godaan syaitan sampai petang.  Dan tidak seorang pun yang melebihi amalnya kecuali orang yang membacanya lebih banyak dari seratus kali. Dan siapa yang membaca; Subhanallaahi wa bihamdih, sebanyak 100 kali dalam sehari dihapuskan kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahalanya) dan kedua-duanya disukai Allah swt ialah: Subhaanallahi wa bihamdih, subhaanallaahi azhiim.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah bersabda,  “Membaca Subhaanallah wal hamdulillah wa la ilaaha illallaah wallaahu akhbar, lebih disukai dari matahari terbit di pagi hari.”

Berdoa: Perbanyakkan berdoa, namun tidak ada doa yang khusus. Berdoalah di dalam bahasa yang difahami kerana Allah itu maha mengetahui. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan seorang hamba dari api neraka melainkan hari Arafah. Sesungguhnya Allah amat hampir dan membanggakan mereka di hadapan malaikat-Nya seraya berkata, “Apa yang mereka inginkan? (tentu Aku kabulkan).”

Kebiasaan yang Nabi lakukan ketika itu adalah bersungguh-sungguh berdoa hingga mengangkat tangan tinggi hingga putih ketiaknya sambil berdiri. Itulah tandanya bersungguh- sungguh di dalam berdoa. Itu perkara yang Nabi buat dari selepas Asar hingga Maghrib .

Lebih afdal berdoa di tempat lapang untuk menunjukkan kesungguhan dan sifat rendah diri. Jika kita duduk di tengah kawasan lapang yang dikelilingi oleh 4 juta jemaah haji, masing-masing berdoa kepada Allah. Simboliknya, diri kita terlalu kerdil di tengah-tengah lautan manusia, ertinya ia melambangkan kehebatan Allah.

Walaupun Rasulullah s.a.w. bersabda, “Berdoalah dengan suara yang perlahan dan berdoalah sendiri-sendiri. Sesungguhnya kamu tidak memanggil orang pekak dan orang jauh. Tetapi kamu memanggil yang maha mendengar dan maha dekat, bahkan Dia bersama kamu.”

Tapi, ketika hari Arafah mengapa digalakkan kita keluar ke tanah lapang untuk berdoa sedang doa yang paling afdal adalah bersendirian?

Sebabnya digalakkan berdoa secara terangan-terangan di hadapan orang ramai ketika hari Arafah adalah untuk menunjukkan kesungguhan di dalam berdoa. Mengapa tanah lapang? Tujuannya supaya kita dapat melihat keagungan Allah, merasa rendah diri dan hina di sisi Allah.

Semakin hinanya kita maka makin Allah angkat martabat kita. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, rendah diri dan merayu-rayu kepada Allah. Jangan ada rasa takbur di dalam doa. Ketika berdoa kena ada rasa rendah diri dan hina barulah doa itu dimakbulkan.

Membaca al-Quran. Dianjurkan membanyakkan membaca surah al-Hasyr dan al-Ikhlas kerana Rasulullah bersabda, “Barang siapa membaca surah al-Ikhlas 1000 kali pada hari Arafah nescaya permohonannya dikabulkan.”

Membanyakan selawat kepada Nabi s.a.w.   Jika mengantuk sangat bolehlah berehat sekejap atau pun tidur tapi selepas Asar jangan tidur. Selepas Asar kena fokus betul-betul dengan membanyakkan doa, zikir dan diselang seli antara satu sama lain. Wallahu a’lam

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare