Delegasi media Indonesia turut dibawa menaiki kapal persiaran mengelilingi tasik Putrajaya.

LAWATAN selama empat hari delegasi media Indonesia ke Malaysia disifatkan bukan sahaja merapatkan hubungan wartawan tetapi juga memberi pencerahan serta gambaran sebenar dua negara serumpun.

Bagi Wartawan Republik Merdeka Online (RMOL), Widian Vebriyanto, banyak pengalaman baharu yang telah dikutip sepanjang lawatan tersebut termasuk mengenali budaya serta cara kerja media di Malaysia.

Malah, Widian merasakan program seperti itu seharusnya dilakukan lebih kerap supaya ketegangan antara dua negara dapat diselesaikan dengan baik.

Widian secara berseloroh juga mengatakan media Indonesia kini sudah mengetahui kehebatan durian Musang King dan mengapa ia begitu popular.

“Media Indonesia yang menyertai program ini banyak belajar tentang pelbagai perkara termasuk perkataan yang mungkin disalaherti di sini.

“Kita juga tahu tentang kebebasan media yang mana wartawan Malaysia sedang perjuangkan sama seperti kami di Indonesia cuma jangan sampai terjadi inflasi maklumat yang akan merencatkan kemajuan bangsa.

“Tidak semua masalah itu harus diselesaikan secara politik tetapi ada satu meja yang harus kita manfaatkan iaitu meja media yang boleh membuatkan suasana kedua-dua negara menjadi lebih aman.

“Apa yang penting, isu kecil jangan kita perbesarkan manakala yang besar kita sendiri boleh kecilkan,” katanya kepada UtusanTV.

Baca artikel berkaitan: Hubungan Malaysia-Indonesia lebih banyak pasang dari surut

Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia selama empat hari anjuran Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) melabuhkan tirainya, semalam.

Program itu adalah kesinambungan daripada Program Pemimpin Media utama Indonesia yang hadir pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, 29 Mei lepas.

Sementara itu, Wartawan Kumparan.com, Muhammad Fadjar Hadi Cakra berharap hubungan wartawan kedua-dua negara dapat terjalin dengan lebih erat susulan program seumpama itu.

Secara keseluruhan, Muhammad Fadjar berkata, banyak pengalaman baharu telah dicatatkan sepanjang empat hari program tersebut.

“Saya merasakan banyak perkara baharu dapat dipelajari dan berjumpa kawan-kawan baharu dari Malaysia.

“Cuma kalau boleh, kawan-kawan wartawan Malaysia juga sesekali dapat dijemput melawat negara kami untuk melihat perspektif di lapangan.

“Lagi pun kita ini satu rumpun, tidak banyak perbezaan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram