Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan./ Gambar FB Shahril Hamdan

KENYATAAN terbuka Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perbincangan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini jelas menimbulkan rasa kurang senang UMNO.

Jika sebelum ini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindak-tanduk Muhyiddin dalam isu tersebut, malam ini Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan pula menyusul.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Shahril berkata, selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), apabila berjumpa dengan Perdana Menteri, Muhyiddin sepatutnya melaporkan kepada Ketua Kerajaan berkenaan dapatan atau cadangan MPN untuk menangani isu pemulihan.

Bagaimanapun, kata beliau, Muhyiddin mengambil kesempatan daripada pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Sudahlah begitu, hebahkan pula kepada umum untuk cuba beri tekanan kepada Perdana Menteri.

“Perdana Menteri yang akan menentukan lantikan Kabinet. Tak perlu didesak sesiapa terutamanya pemimpin dari parti lain,” katanya yang juga Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri.

Baca: Bubar saja MPN, hanya untuk naik imej Muhyiddin – Zahid Hamidi

Ini bukan masa tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri

Pada satu majlis di Tanah Merah semalam, Muhyiddin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

Sementara itu, tegas Shahril, isu lantikan Kabinet bukan keutamaan saat ini sambil mengutarakan “adakah kalau ada Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu akan selesai isu rakyat?”.

“BN baik dari dalam atau luar Kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

Baca: Guna logo PN: Tuan Ibrahim kata belum muktamad

“Pengerusi PN barangkali lebih sibuk isu jawatan Kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan,” jelasnya.