
MALAYSIA dan Indonesia merupakan dua negara unik yang mempunyai sejarah amat panjang.
Sebagai dua negara serumpun, banyak perkara yang dikongsikan kedua-dua negara termasuk dari segi budaya dan cara hidup.
Manakan tidak, kebanyakan susur galur keturunan rakyat Malaysia juga datang dari Indonesia.
Malah, lebih satu juta rakyat Indonesia menjadikan negara ini sebagai peluang mencari rezeki dibawa pulang ke kampung halaman.
Namun, tak semuanya indah. Kadang-kala ada juga bibit pergeseran yang membawa kepada keretakan.
Bukan sahaja isu besar melibatkan geopolitik, namun soal kecil seperti bola sepak juga sering membawa kepada tekanan hubungan kedua-dua negara.
Umum mengetahui, rakyat Malaysia tidak mahu Harimau Malaya tewas kepada sang Garuda, manakala rakyat Indonesia pula tidak akan menerima kekalahan timnas mereka ke atas Malaysia.
Ibarat adik-beradik, air yang dicencang itu tidak akan putus, sebanyak mana ‘menarik rambut’ pun akhirnya kita akan sentiasa bertaut kembali.
Justeru, lawatan media Indonesia selama empat hari mulai Selasa lalu membuka lembaran sejarah baharu untuk mengeratkan hubungan silaturahim.
Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia anjuran Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) itu sememangnya menepati objektif utama memberi gambaran sebenar Malaysia di mata mereka.
Program itu adalah kesinambungan daripada Program Pemimpin Media utama Indonesia yang hadir pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di Melaka, 29 Mei lepas.
Jika dilihat sekali pandang, apa sangat yang mampu dilakukan delegasi media seramai 18 orang itu mampu lakukan untuk merapatkan hubungan yang terjalin antara Indonesia dan Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Lawatan ke Malaysia rapatkan hubungan, beri pencerahan – media Indonesia

Bagaimanapun, media ada ‘kuasa’ memberikan pencerahan betapa apa yang kadang kala ditularkan baik melalui media sosial atau cakap-cakap kosong itu sebagai tidak benar.
Rata-rata delegasi media Indonesia cukup teruja dan berpuas hati apabila dibawa sendiri melihat asrama tenaga kerja Indonesia (TKI) disediakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bangi.
Ramai yang mengatakan TKI itu amat bertuah apabila menerima kediaman yang selesa tanpa perlu menggunakan satu sen pun daripada gaji yang diterima.
Kediaman tiga bilik yang memuatkan enam hingga lapan pekerja itu ditanggung sepenuhnya majikan masing-masing.
Kawan-kawan media Indonesia juga berasa gembira apabila dibawa melihat sendiri proses pembikinan animasi yang menjadi ‘pujaan’ rakyat mereka iaitu Upin & Ipin.
Lawatan ke Ibu Pejabat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. itu merupakan pengalaman istimewa yang tidak dapat ditukar ganti.
Pengarang Urusan Bisnis Indonesia, Galih Kurniawan yang merupakan salah seorang peserta program juga secara berseloroh menyatakan lawatan itu telah ‘lengkap’ apabila dapat bertemu Upin & Ipin.
Begitu juga ketika dibawa bertukar pandangan dan melawat Astro Awani pada hari ketiga program tersebut.
Walaupun tidak banyak bezanya dengan cara kerja di Indonesia tetapi pengalaman baharu yang dikutip disifatkan amat berharga.
Secara keseluruhan, program tersebut telah berjaya membuka mata media Indonesia bahawa apa yang tersebar itu tidak semuanya buruk atau benar.
Bak kata Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan dalam Majlis Makan Malam bersama Delegasi Media Indonesia, Khamis lalu, hubungan dua hala kedua-dua negara sebenarnya lebih banyak pasang daripada surut.
Media sebenarnya berperanan memastikan konteks sebenar dapat disampaikan biarpun ada sesuatu berita itu kadang kala berpotensi menjadi pencetus ketegangan.
Kesedaran yang sama itu juga membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan peruntukan RM1 juta kepada ISWAMI bagi membolehkan aktiviti mengukuhkan hubungan media dilaksanakan.
Seperti kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin, tidak semua masalah itu harus diselesaikan secara politik tetapi meja media mampu membuatkan suasana kedua-dua negara lebih aman.
Apa yang penting, isu kecil jangan diperbesar sehingga merencatkan hubungan kedua-dua negara.
Media Indonesia dan Malaysia juga boleh sahaja menjadi ‘pendamai’ mengecilkan masalah besar yang dihadapi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram