PELAKON, Putra Amaris akui pengalaman mengikuti pelbagai program bantuan dan infak untuk golongan yang memerlukan sememangnya memberi keterujaan serta keseronokkan buat dirinya.

Menurut Amaris atau nama sebenarnya Muhammad Amran Ismail, lambakan program dan infaq yang dilakukannya tidak membuatkan dirinya penat malah lebih gembira dapat membantu mereka yang lebih memerlukan.

“Kerja apa pun penat, tapi bila saya letakkan untuk melakukan infaq sebagai niat saya, ia jadi lebih seronok.

“Kalau berlakon kita kena pergi penggambaran selepas itu tak cukup tidurnya, tapi bila buat program infaq ni saya rasa lebih teruja dan tak sabar untuk buat tunggu program seterusnya,” jelasnya kepada URTV.

Putra Amaris ketika sidang media di Putrajaya, semalam.

Pelakon berusia 37 tahun itu juga turut berkongsi keterlibatan isterinya dalam membantu melancarkan program-program yang dianjurkan.

“Isteri saya sangat membantu. Setiap kali program dia akan turun padang dan jika tiada dia, mungkin saya tidak akan sampai di mana saya sekarang ini. Dia adalah tulang belakang saya.

“Selain itu, pengurus saya dan pasukan saya turut membantu melancarkan setiap program yang kami jalankan. Saya bersyukur,” ujarnya.

Amaris ditemui semasa pelancaran Program Pelaris Challenge dan Infaq wanita Muda oleh Soleque Inspiring Beauty dekat Menara Shaftburry, Putrajaya, semalam.

Sedikit maklumat berkenaan program ini, ia merupakan program rintis dengan menggabungkan kerjasama antara Soleque Cosmetics, Putra Amaris dan Persatuan Aspirasi Primadona Putrajaya.

Program ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000. Pemenang akan di umumkan selepas tamat program.

Amaris dilantik sebagai Duta Pelaris Challenge bagi mempromosi program tersebut. Pendaftaran boleh di buat di www.pelaris-challenge.com.

Selain itu, gabungan ini juga melancarkan Jelajah Program Infaq Wanita Muda Soleque x Putra Amaris untuk membantu wanita muda, ibu tunggal dan golongan B40 yang memerlukan dengan kerjasama Persatuan Aspirasi Primadona Putrajaya dan Putra Amaris.

Jelajah ini bermula hari ini selama sebulan meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pihak penganjur juga mengalu-alukan penyertaan daripada pengasas produk dan orang persendirian untuk turut serta.

Amaris ketika ditemui memberitahu kini dia bersama sebuah pertubuhan iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia sedang bergiat aktif dalam membina rumah untuk golongan asnaf dan artis-artis veteran.

Untuk rekod, terdahulu Amaris bersama pasukannya menjalankan program Infaq Ramadan #samasamakenyang bersama Pertubuhan kebajikan Dapur Pasak untuk membina sebuah rumah asnaf di kawasan Lemba Klang.