PELAKON cantik, Emma Maembong mendedahkan sudah bersedia dan sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat kedua bersama suaminya, Muhammad Shazli Azhar sejak habis pantang anak pertama.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, memberitahu usaha mereka untuk menimang cahaya mata kedua itu masih belum berjaya dan dia bersama suami percaya bahawa Allah mahu mereka memberikan perhatian kepada anak pertamanya itu dahulu.

Menurut Emma lagi, hidup dalam keluarga besar yang mempunyai 11 orang adik-beradik telah membuatkan dirinya berimpian untuk memiliki cahaya mata yang ramai juga kerana dia gemar menjaga anak-anak kecil.

“Saya memang ada mencuba untuk dapatkan anak kedua tapi belum ada rezeki lagi. Sebenarnya saya memang merancang untuk dapat anak cepat.

“Kalau boleh lepas pantang anak pertama itu, nak cuba terus dapatkan anak kedua. Itulah, kadang-kadang kalau kita nak sangat, susah nak dapat.

“Setengah orang nak tunggu anak besar sikit, tapi saya nak biar sekali penat. Adik-beradik saya pun 11 orang dan saya selalu jaga anak-anak buah.

“Jadi, misi saya berkahwin memang nak anak. Tapi belum rezeki. Mungkin Allah nak saya beri perhatian lebih kepada anak pertama,” katanya memetik laporan mStar.

Selain itu, pelakon drama Nusyuz Berkiblat Cinta itu juga berkongsi bahawa dia memberi susu badan sepenuhnya kepada anaknya itu serta mengamalkan pemakanan sihat agar nutrisi baik dapat disalurkan.

“Saya memang bagi susu badan sepenuhnya sebab nak anak ada antibodi yang kuat, Bukan itu saja, saya juga amalkan makanan berkhasiat, Bangun pagi, makan buah-buahan seperti strawberi.

“Saya juga makan banyak sayur-sayuran walaupun sebelum ini, tak makan pun. Kalau dahulu, makan makanan yang tak sihat. Tapi demi anak, saya sanggup ubah gaya pemakanan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, pelakon asal negeri Terengganu itu telah mendirikan rumah tangga dengan Shazli yang merupakan seorang juruterbang pada 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Shariq Gabriel.