PERNAHKAH anda menemui batu berwarna kuning yang berbau seperti telur busuk? Jika ya, ketahuilah bahawa itu adalah batu sulfur, sejenis pepejal yang baunya amat busuk sehingga menyesakkan hidung. Orang Melayu lebih mengenalinya sebagai belerang.
Sulfur atau dalam bahasa Latinnya sulpur telah ditemui oleh manusia sejak beberapa kurun sebelum Masihi (SM) lagi. Ia pernah disebut di dalam kitab Injil Pentateuch sebagai satu unsur semula jadi alam.
Dipercayai, perkataan sulfur ini berasal daripada bahasa Arab iaitu sufra yang bermaksud kekuning-kuningan.
Pengarang epik Yunani yang dikenali sebagai Homer pernah menyebut tentang sulfur pada abad ke-8 SM. Pada tahun 424 SM, kaum Boeotia telah merosakkan dinding-dinding sebuah kota menggunakan pembakaran campuran arang batu, sulfur dan tar.

Penggunaan sulfur semakin berkembang dan manusia semakin bijak mengaplikasikan sulfur dalam kehidupan harian, terutamanya dalam bidang ketenteraan. Pada sekitar abad ke-12, orang Cina telah mencipta serbuk senapang, yang merupakan campuran kalium nitrat, karbon dan sulfur.
Pada lewat 1770-an, seorang saintis, Antoine Lavoisier telah meyakinkan golongan sains bahawa sulfur merupakan sejenis unsur dan bukannya satu sebatian.
Di kalangan masyarakat Melayu, sulfur lebih dikenali sebagai belerang. Sulfur dalam bentuk aslinya adalah satu hablur pepejal lembut berwarna kuning. Dalam alam semula jadi, ia boleh ditemui dalam bentuk unsur tulen atau dalam bentuk mineral sufida dan sulfat.
Sulfur adalah satu-satunya mineral pepejal yang melepaskan bau busuk. Bauan sulfur dikatakan menyerupai bau telur busuk atau bau kentut. Ini kerana kebanyakan bau busuk bahan organik mengandungi sulfur. Contohnya, bau busuk bawang putih dan bau busuk ‘skunk’ adalah disebabkan oleh sebatian organik yang mengandungi sulfur. Bau ini berfungsi untuk mengesan sekiranya berlaku sebarang kebocoran gas yang mudah terbakar.

Sulfur adalah sejenis batuan unik kerana mempunyai pelbagai variasi warna dalam bentuk yang berbeza. Dalam bentuk pepejal atau hablur, sulfur berwarna kuning terang. Namun apabila terbakar, sulfur akan menghasilkan nyalaan api yang berwarna biru. Bagaimanapun, perubahan warna berlaku dengan ketara apabila sulfur menjadi cair yang mana warnanya akan bertukar menjadi merah seperti darah.
Di seluruh belahan dunia, batuan sulfur boleh didapati di kawasan yang berhampiran dengan mata air panas dan sekitar kawasan kawah gunung berapi, terutamanya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik. Antara lokasi utamanya ialah di Indonesia, Chile dan Jepun. Selain itu, longgokan ketara unsur sulfur juga wujud dalam bentuk kubah garam di sepanjang pantai Teluk Mexico serta di Eropah Timur dan Asia Barat.

Dalam bidang perindustrian, sulfur mempunyai banyak kegunaan. Melalui terbitan utamanya asid sulfurik, sulfur adalah antara unsur yang penting sebagai bahan mentah perindustrian. Malah, ia dianggap sebagai bahan penting dalam setiap sektor ekonomi dunia.
Sulfur digunakan dalam pembuatan bateri, bahan pencuci, pemvulkanan getah, racun kulat serta pembuatan baja fosfat. Oleh sebab sifatnya yang mudah terbakar, sulfur juga digunakan untuk menghasilkan mancis, ubat bedil dan bunga api. Manakala garam Epson atau garam sulfur boleh digunakan sebagai julap atau bahan penambah mandian.
Pada lewat 1700-an, pengusaha-pengusaha perabot menggunakan sulfur untuk menghasilkan hiasan tatah dalam rekaan-rekaan mereka dan dijual dengan harga yang sangat tinggi.
Namun, disebabkan ia berisiko tinggi kerana gas beracun sulfur dioksida yang terhasil semasa proses peleburan sulfur, pertukangan tatah menggunakan sulfur telah dihentikan.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’