Tangkap layar rakaman sekumpulan penari pondan dengan berpakaian separuh bogel di sebuah kawasan tarikan pelancong dekat Shah Alam, baru-baru ini.

0leh NAILUSAADAH SAUDEE

SEJAK kebelakangan ini, dunia semakin terdedah kepada gejala homoseksual iaitu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di seluruh dunia .

Golongan LGBT ini semakin mendapat sokongan di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di negara Barat yang mula mengiktiraf dan menerima golongan ini secara terbuka. Lebih menyedihkan lagi, negara-negara yang mempunyai masyarakat majoritinya Islam seperti Indonesia dan Turki turut mula mengiktiraf golongan ini.

Jika diperhatikan golongan LGBT pada masa kini, dalam konteks di negara Malaysia, mereka semakin berani menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan norma masyarakat serta menuntut hak kebebasan. Golongan ini boleh dikatakan telah mengambil kesempatan hak kebebasan bersuara seperti yang dijaminkan oleh Perlembagaan negara namun atas sebab yang salah.

Golongan ini turut mendapat sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang agresif menuntut hak-hak golongan LGBT ini diiktiraf dan dipenuhi oleh pihak kerajaan.

Menurut hasil kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), trend golongan homoseksual dan transgender di Malaysia amat merisaukan apabila dapatan kajian menunjukkan peningkatan yang tinggi pada tahun 2018 iaitu seramai 310,000 orang, berbanding pada tahun 2013 iaitu seramai 173,000 orang.

Sekiranya golongan LGBT ini semakin mendapat tempat dalam organisasi dan diterima oleh masyarakat dalam sesebuah negara, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat, terutamanya kepada generasi muda yang merupakan harapan negara dan pemimpin pada masa hadapan.

BERITA BERKAITAN Selepas Aliff, Vida pula disiasat SKMM – dakwaan video promosi LGBT

Menurut laporan akhbar Sinar Harian, pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS) menyatakan bahawa kurangnya penghayatan agama telah menyebabkan seseorang itu terjebak serta cenderung untuk terlibat dalam gejala LGBT ini.

Lebih menyedihkan lagi apabila individu yang terlibat dengan isu ini juga terdiri daripada mereka yang berlatar belakangkan sekolah agama.

Sebagai contoh, awal Februari lalu, negara dikejutkan dengan kes seorang guru tahfiz yang berfikiran tidak waras meliwat pelajarnya yang berumur 14 tahun di Kemaman. Persoalannya adakah perkara sebegini masih perlu dipandang remeh? Tepuk dada tanyalah iman.

Selain itu juga, terdapat segelintir pengguna media sosial tanpa segan silu dan bangganya menunjukkan kepada orang awam bahawa mereka turut mengamalkan amalan songsang ini. Malah lebih parah, ada usahawan kosmetik terkanl yang secara terang-terangan mengaku dan berbangga dengan melakukan pembedahan penukaran jantina. Keadaan ini seolah-olah memberi galakan kepada generasi baharu untuk turut sama terjebak dengan masalah ini.

Masyarakat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam perlu menyedari bahawa Islam tidak pernah bersetuju untuk memberikan hak kepada golongan ini kerana Islam melarang gejala ini. Dalam sebuah hadis riwayat Al- Baihaqi dari Abu Hurairah RA dari Rasulallah s.a.w bersabda:

“Daripada Saidina Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Empat jenis manusia dimurkai Allah pada waktu pagi dan dikutuk Allah pada waktu petang.” Aku bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Orang lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang melepaskan nafsu pada binatang dan orang yang datang kepada lelaki (homoseksual).”

Bahkan bukan sahaja agama Islam, malah agama-agama lain seperti Kristian dan Hindu turut menolak amalan songsang seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Maka, isu homoseksual ini seharusnya dibendung daripada awal persekolahan lagi kerana pada waktu ini anak-anak lebih mudah menerima nasihat dan teguran. Berbeza dengan orang dewasa yang mengetahui perkara betul dan salah namun masih menyokong isu homoseksual ini.

Selain itu, petugas agama dan masyarakat perlu memainkan peranan dengan membantu golongan yang sudah terjebak dengan isu LGBT ini agar mereka segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti jabatan agama Islam negeri , Jabatan Mufti serta NGO perlulah lebih tegas dalam membendung isu ini dan menolak sekeras-kerasnya gejala ini daripada terus menjadi wabak yang berleluasa di Malaysia khususnya bagi umat Islam.

Oleh itu, wahai masyarakat, sedarlah bahawa budaya LGBT ini merupakan perkara yang salah dan tidak sepatutnya dinormalisasikan oleh insan yang beragama dan berfikiran waras. Semoga Tuhan lindungi negara kita daripada amalan yang songsang dan jijik ini.

  • ARTIKEL sumbangan Nailusaadah Saudee yang merupakan mahasiswa Tahun 3 Program Komunikasi USIM