rahsia mendapatkan haji mabrur

Haji mabrur ganjarannya adalah syurga. Oleh sebab itu bakal jemaah haji yang terpilih menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Mekah akan bersungguh-sungguh membuat persiapan sebelum menyempurnakan rukun Islam yang kelima ini, antaranya menghadiri kursus haji bersiri, merancang di Mekah nanti akan banyak melakukan ibadat seperti mengkhatamkan bacaan al-Quran, solat sunat taubat, berzikir dan berselawat di samping melengkapkan rukun haji dan wajib haji yang enam.

Namun begitu, bakal jemaah haji ada kalanya terlupa, di antara perkara yang paling penting sebelum menunaikan ibadat haji adalah 3 perkara berantai iaitu menjaga niat menunaikan haji, duit perbelanjaan dan memperbanyakkan bertalbiah.

Menjaga Niat: Maksud menjaga niat di sini ialah menjaga niat pergi haji adalah kerana Allah di samping mentaati perintah Nya dan bukanlah kerana untuk mendapat gelaran “Haji dan Hajah” semata-mata, atau pergi melancong, tangkap gambar dan membeli-belah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.

“Setiap amalan itu dimulakan dengan niat” (HR Bukhari dan Muslim)

Menjaga duit: Menjaga duit perbelanjaan bermaksud memastikan duit yang digunakan untuk ke Mekah adalah daripada sumber yang halal. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Bahawa Allah itu baik (bersih) tidak menerima melainkan yang baik (bersih)”. (HR Imam Ahmad)

Perbanyakan talbiah: Maksud memperbanyakkan talbiah ialah bakal jemaah haji disunatkan bertalbiah mulai selepas sahaja berniat haji di miqat sehinggalah berakhir di tempat yang ditetapkan sepertimana haji Rasulullah s.a.w.

Saranan bertalbiah ini, sudah pasti ada rahsia tersirat di sebalik mengapa Rasulullah s.a.w. menyuruh memperbanyakkan talbiah. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Telah datang kepadaku Jibril, dan memerintahkan aku supaya menyuruh sahabatku mengangkat suara mereka ketika bertahlil dan bertalbiah.” (HR Malik, al-Shafie, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tirmizi)

Kepentingan ketiga-tiga perkara berantai ini sepertimana ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. dapat dilihat dan dihayati pelaksanaannya di dalam rahsia mencapai haji mabrur sepertimana akan ditunjukkan di dalam kronologi di bawah, iaitu bagaimana perjalanan seseorang bakal jemaah haji itu dijemput Allah dalam menunaikan haji.

Seterusnya bagaimana jemaah haji yang dijemput itu menjawab panggilan Tuhannya, dan di akhirnya Allah akan menjawab balik kedatangan hamba Nya dengan menjawab dan menentukan hajinya mabrur atau mardud tatkala selesai daripada bertalbiah.

Rahsia Talbiah “Kronologi kad jemputan Allah S.W.T.”

1: Tatkala Allah menjemput manusia (jemaah haji yang terpilih)

Maksudnya, “Dan Allah S.W.T. mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya.”

(Surah Ali-Imran: 97)

Maksudnya, “Dan sempurnakanlah idabah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 96)

2: Manusia menerima jemputan Allah. (jemaah haji akan berniat di Miqat dan bertalbiah)

Labbaika Allahuma Labbaika, Labbaika la syarika laka labbaika, Innalhamda wan ni’mata laka, wal mulka la syarika laka.

Maksudnya, “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan Kekuasaan adalah kepunyaan-Mu.Tidak ada sekutu bagi-Mu.”

3: Selepas jemaah haji berniat dan bertalbiah lalu Allah akan menjawab.

Jika disertai dengan niat yang ikhlas dan bekalan perbelanjaan halal maka Allah menjawab, “Seruan kamu diterima dan bahagialah kamu, bekalan kamu itu halal, kenderaan mahupun tunggangan kamu halal dan haji kamu diterima (mabrur)” Riwayat al-Dimyati, al-Haithami dan Ibn Rajab.

Jika niat tidak ikhlas disamping bekalan perbelanjaan dari sumber yang haram maka Allah menjawab, “Tidak diterima seruanmu dan tiadalah kebahagiaan bagi kamu, bekalan kamu haram, perbelanjaan kamu haram dan haji kamu ditolak, tiadalah pahala mahupun ganjaran bagimu” Riwayat al-Dimyati, al-Haithami dan Ibn Rajab

Oleh: Lukmanul Hakim Hj Hanafi, Pensyarah Pengurusan Haji dan Umrah, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare