PELAKON terkenal antarabangsa Johnny Depp, 59, bakal kembali dalam dunia lakonan selepas memenangi kes saman fitnah terhadap bekas isterinya, Amber Heard awal Jun yang lalu.

Memetik sumber The Straits Times, Netflix Inc bersedia untuk membiayai bersama, memberi sokongan kewangan dan menstrim filem Perancis, berjudul La Favorite, di mana Depp akan melakonkan watak Raja Louis XV.

Filem ini akan menjadi filem pertama lakonan Depp sejak Hollywood membelakangkan pelakon itu selepas bekas isterinya membuat tuduhan keganasan rumah tangga terhadapnya.

Oleh itu, kali terakhir Depp tampil dalam sebuah filem adalah pada tahun 2020, dan ini merupakan kali pertama pelakon Pirates of Caribbean itu berlakon dalam filem Perancis.

Walau bagaimanapun, wakil untuk Netflix dan untuk penerbit filem itu, Why Not Productions, enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai cerita ini.

Diarahkan oleh Maiwenn Le Besco, filem ini dijangka akan dikeluarkan pada tahun 2023 di pawagam Perancis, dan akan tersedia di Netflix France pada 15 bulan kemudian.

Filem ini akan memulakan pengambaran pada musim panas ini selama tiga bulan di beberapa lokasi termasuk istana Versailles, memetik sumber akhbar Figaro.

Filem tersebut juga akan menampilkan pelakon terkenal Perancis, Maiween Le Besco, 46, di mana dia akan memegang watak Madame du Barry iaitu perempuan simpanan kepada Louis XV.

Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada filem ini akan tersedia di Netflix seluruh dunia.