DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara kedua-dua negara.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun.

Menurutnya, Utusan Khas TYT Perdana Menteri Jepun itu juga merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

Perdana Menteri berkata, beliau amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka tentang insiden mengenai Abe yang merupakan Utusan Khas TYT Perdana Menteri Jepun.

Menurutnya, beliau baru sahaja menemui mendiang pada awal tahun ini.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada Kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian beliau.

“TYT Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambahnya, beliau berharap agar keluarga mendiang dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

Abe meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Kashihara, wilayah Nara, tempat beliau menerima rawatan perubatan selepas ditembak pagi ini.

Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

Beliau yang berusia 67 tahun bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.