Polis berjaya menahan suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pasangan suami isteri di Taman Bercham Aman, Ipoh, semalam. GAMBAR: BERNAMA

TINDAKAN pantas polis membuahkan hasil selepas berjaya menahan suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pasangan suami isteri di Taman Bercham Aman, Ipoh, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 61 tahun itu yang juga adik kepada mangsa ditahan di Genting Highlands, Pahang.

Menurut beliau, polis turut menjumpai sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

Mior Faridalathrash memaklumkan, semakan polis mendapati suspek memiliki satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

“Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

“Dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan barang kes, maka kes bunuh ini telah berjaya diselesaikan dalam masa 11 jam selepas laporan polis diterima.

“Polis Perak ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Pahang; pengurusan Resort World Genting; media dan orang awam atas kerjasama dan bantuan diberikan sehingga berjaya menangkap suspek di Genting Highlands dalam masa singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Suami isteri dibunuh, dipercayai dilakukan ahli keluarga sendiri

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Semalam, mayat suri rumah Ooi Tin Lu, 59, dan suaminya Ng Chun Hon, 64, seorang mekanik ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh abang Chun Hon yang balik ke rumah selepas bekerja lalu melaporkan kepada polis kira-kira 8.50 pagi.

Pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu daripadanya tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.

Susulan itu, polis memburu suspek yang juga adik lelaki Chun Hon yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram