SEBELUM ia ditemukan, tiada siapa menyedari kewujudan tumbuhan ini. Sehinggalah seorang ahli botani dari Austria, Friedrich Welwitsch, menjumpainya ketika sedang menjalankan penyelidikan di Namibia dan Angola Selatan pada tahun 1860.

Sejak itu, tumbuhan ini diberi nama ‘Welwitschia mirabilis’ bersempena nama penemunya, Welwitsch.

Penemuan tumbuhan ini berlaku tanpa disangka. Pada awalnya, Welwitsch tidak menyangka ‘ia’ adalah spesies tumbuhan. Kerana sekilas pandang ia tidak menyerupai pohon, sebaliknya berkeadaan seperti ‘timbunan sampah’.

Namun, apabila didekati dan diamati, sangkaannya itu salah. Kajian yang dijalankan mendapati ia memang sejenis pohon yang sangat unik, baik dari segi morfologi mahupun fisiologi.

Tumbuhan ini hanya memiliki dua daun lebar, satu batang pendek dan akar. Sepanjang hayatnya, Welwitschia hanya berdaun dua helai dan daun itu akan memanjang sehingga menyerupai figura bagai makhluk asing.

Batangnya pula makin lama semakin tebal, tapi anehnya ia tidak meninggi. Tinggi maksimum tanaman ini cuma dua meter dan lebarnya boleh mencapai ukuran sehingga lapan meter.

Kelebihan luar biasa spesies ini ialah ia mampu tumbuh di kawasan gurun sepanjang pantai Laut Pasifik, meskipun kawasan itu tidak menerima hujan selama lima tahun.

Bagaimana pokok ini mampu bertahan hidup di kawasan tandus yang kurang menerima curahan hujan? Jawapannya terletak pada daunnya yang lebar.

Jika spesies tanaman lain yang hidup di gurun cuba mengecilkan daunnya bertujuan bagi mengurangkan pengewapan, sebaliknya tumbuhan ini terus-menerus melebarkan daunnya. Itu merupakan strateginya bagi melindungi kelembapan tanah dan akar agar tetap terpelihara.

Pada waktu malam pula, tumbuhan ini akan membuka stomata atau liang-liang kecil terutama pada epidermis daun untuk menyerap dan memerangkap awan kabut malam. Wap-wap air dari kabus inilah yang banyak membantu ia bertahan hidup secara sempurna dalam kondisi ekstrem di gurun pada siang hari.

Lantaran tidak bergantung sepenuhnya pada hujan, pohon ini tetap mampu hidup bertahun-tahun lamanya. Tahap kekebalan dan ketahanannya dalam meneruskan hidup menjadikan Welwitschia dikenali sebagai tumbuhan purba. Mana tidaknya, rata-rata jangka hayat spesies ini mencapai 400 hingga 1,500 tahun.

Malah, ilmuwan menduga Welwitschia yang tertua di dunia berusia lebih 2,000 tahun! Berdasarkan tempoh hayat itu, boleh jadi benih Welwitschia yang tertua di dunia telah hidup sejak zaman Nabi Musa lagi.

Melihat pada faktor usia ini, ada yang berandaian pohon tersebut terlalu mudah penjagaannya. Bagaimanapun analisa yang dilakukan ke atas fisiologi tumbuhan ini menunjukkan hal sebaliknya.

Biji benihnya tersebar melalui angin. Biji benih ini berasal daripada bunga kerucut Welwitschia betina. Pohon ini secara konsisten akan bercambah. Bagaimanapun, dari ratusan benih tersebut, peluang hidup hanya satu peratus saja. Ini kerana akibat faktor kekurangan air di kawasan gurun. Jika hidup sekali pun, tumbuhan ini tumbuh dengan sangat lambat.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’