Yayasan Ikhlas sekali lagi meneruskan kesinambungan menjalankan Kempen Korban Ikhlas 2022 yang telah diadakan selama 8 tahun berturut-turut bagi membantu saudara Islam yang susah dan tidak berkemampuan untuk merasai daging korban.

Pengarah Perhubungan Korporat Yayasan Ikhlas, Ir Haji Kamaruddin Kassim berkata, Republik Chad di Afrika merupakan negara terbesar yang menjadi penerima daging korban Yayasan Ikhlas pada tahun ini.

“Republik Chad di pilih memandangkan mereka mempunyai penduduk Muslim teramai sehingga 60% daripada keseluruhan penduduk. Negara ini berada pada paras kemiskinan yang meruncing dengan 83 juta rakyat di wilayah berkenaan hidup dengan mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak $381.75 sahaja setahun.

“Sehingga kini, seramai 50,000 keluarga telah tersenarai sebagai penerima daging korban di beberapa kawasan dalam wilayah Ouaddai, Chad hasil penyertaan korban rakyat Malaysia. Dengan amanah besar daripada rakyat Malaysia ini, pihak Yayasan Ikhlas akan bertanggungjawab penuh untuk melunaskan ia dengan penuh cermat dan mematuhi syarat prosedur yang ditetapkan.”

Ir Haji Kamaruddin Kassim menambah,”Yayasan Ikhlas telah mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam di Republik Chad dimana pihak mereka telah menghantar surat rasmi kepada Yayasan Ikhlas sebagai badan yang berdaftar. Pantauan daripada Majlis Agama Islam dalam memenuhi syarat sembelihan ibadah korban di Afrika… Insya Allah lebih terjamin serta mendapat kualiti yang cemerlang tahun ini.

“Yayasan Ikhlas juga turut menghantar 3,000 orang petugas yang terlatih demi memastikan proses ibadah korban, bermula dari awal pemilihan lembu sehingga ke proses sembelihan dan agihan daging dapat dibuat secara sistematik dan terurus di daerah Republik Chad, Afrika.”

Selain Afrika, Yayasan Ikhlas juga menyasarkan agihan daging korban dengan skala yang lebih besar di lima buah negara lain iaitu, India, Bangladesh, Kemboja, Acheh, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Fokus agihan daging korban adalah di kawasan pedalaman di setiap lokasi terpilih dimana petugas-petugas Yayasan Ikhlas dan rakan kerjasama turut serta melihat sendiri keadaan keluarga yang tinggal di kawasan daif dan serba kekurangan

Yayasan Ikhlas menyeru kepada masyarakat Malaysia, bagi yang berkemampuan, peluang sentiasa terbuka untuk anda yang ingin melaksanakan ibadah korban sepanjang kempen ini berlangsung. Boleh terus daftar penyertaan anda di korbanikhlas.com atau hubungi di talian 010–3030 530 untuk maklumat lanjut. Tarikh tutup penyertaan Korban Ikhlas adalah pada 10 Julai 2022.