terlepas haji mabrur

Kadar perbezaan hari pergi menunaikan ibadat haji yang lama berbanding umrah yang ada kalanya mencapai 40 hari, 44 hari, 45 hari dan 50 hari menyebabkan segelintir bakal jemaah haji hilang sabar, di antaranya ada bergaduh dengan rakan sebilik, kerap marah, tidak sabar dengan dugaan Allah seperti sakit, sesat atau keadaan mencabar di Arafah, Muzdalifah dan Mina. Akibatnya petugas-petugas haji, para ustaz dan ustazah akan dipersalahkan dan menjadi tempat melepaskan geram.

Sebab itu kata-kata yang sering terngiang-ngiang di telinga ketika di Mekah ialah kata-kata ustaz dan ustazah dalam menenangkan jemaah haji yang marah-marah seperti “sabar Haji dan sabar Hajah, jangan marah-marah ya, nanti haji tak mabrur.” 

Namun begitu, jemaah haji sering mempermainkan kata-kata ustaz dan ustazah kononnya ingin mengugut mereka supaya tidak marah-marah.

Sejujurnya bakal jemaah haji dinasihatkan tidak cepat marah-marah atau mengamuk di atas perkara dan ujian yang berlaku di Tanah Suci Mekah kerana dibimbangi akan mengganggu kemabruran haji di samping tipu daya syaitan laknatullah. Bayangkan selepas 15 tahun mengumpul duit untuk menunaikan haji, dan 5 tahun pergi kursus haji, tiba-tiba haji tidak mabrur. Sayangnya peluang terlepas begitu saja!

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesiapa mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan “Rafath” iaitu larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, sama ada dengan perbuatan atau perkataan, dan tidak melakukan “Fusukh” iaitu larangan maksiat seperti mengamuk, marah-marah, mengumpat, mengata orang dan juga termasuk segala yang dilarang dalam masa mengerjakan haji, maka pulanglah dia daripada ibadat haji bersih daripada dosa seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Begitu juga dengan hadis yang menerangkan syaitan akan menangis dan tidak suka kepada mereka yang pergi menunaikan ibadat haji dan umrah, maka syaitan laknatullah akan cuba habis-habisan merosakkan ibadat haji jemaah tersebut, di antaranya dengan menghasut jemaah haji agar cepat marah dan tidak bertolak ansur walaupun perkara kecil supaya ibadat haji jemaah tersebut tidak mabrur.

Bagi syaitan laknatullah, anak Adam yang menunaikan haji dan umrah adalah kerana keampunan dosa yang akan diperolehinya dan seterusnya dimasukkan ke syurga. Pada hakikatnya syaitan telah menggoda dan menyesatkan seseorang anak Adam itu agar masuk ke neraka bersama-samanya daripada seawal umurnya baligh hinggalah saat dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Bayangkan seseorang yang telah membuat dosa dari awal umurnya 15 tahun sehinggalah umurnya 60 tahun dan syaitan telah yakin bahawa orang ini akan masuk neraka bersamanya tetapi pada akhir hidup orang itu, tiba- tiba pada umur 61 tahun, dia bertaubat nasuha dan pergi menunaikan haji dan mendapat haji mabrur, kerana itu syaitan laknatullah menangis dan tidak suka ibadat haji dan umrah.

Oleh: Lukmanul Hakim Hj Hanafi, Pensyarah Pengurusan Haji dan Umrah, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare