Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu merujuk kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.

Itu kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dipetik BH Online, hari ini.

Menurut Muhyiddin, ini kerana Takiyuddin merupakan individu yang menggubal draf perjanjian tersebut.

Selain Takiyuddin, Muhyiddin memaklumkan, saksi perjanjian itu adalah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), disaksikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Datuk Seri Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.

“Jadi, mungkin Tok Guru (Abdul Hadi) boleh memeriksa kembali dengan Datuk Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnyalah.

“Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, kandungan kuota perjanjian itu antara lain menyebut tentang bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya kuota setiap parti.

Baca artikel berkaitan: PN akan perkenal logo baharu pada PRU15 – Muhyiddin

“Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar Bersatu, maka wajarlah kuota itu diisi oleh Ahli Parlimen Bersatu.

“Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada Perdana Menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi berkata tidak wujud perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam PN, namun beliau mengakui perkara itu dibincangkan di antara PN dengan Ismail Sabri dan tiada keputusan dicapai.

Perkara mengenai jawatan berkenaan turut dibangkitkan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri mengenai jawatan itu memang wujud.

Marzuki mendakwa, beliau terbabit secara langsung dalam penyediaan perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri, selain mendedahkan perjanjian itu ditandatangani oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri pada 17 Ogos 2021 dengan disaksikan oleh seorang menteri dari Bersatu dan UMNO.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram