jabal rahmah bertaut jodoh

“Hujung bulan ini, aku dan suami akan pergi umrah. Nanti masa ziarah Jabal Rahmah, aku doakan kau cepat kahwin. Orang kata, kalau berdoa minta jodoh kat sana makbul tau! .”

Benarkah? Bagaimana pula jika tidak berpeluang ke sana? Bermakna, susah dapat jodoh ke? Kerap kali Jabal Rahmah dikaitkan dengan bukit jodoh. Mana yang bujang minta dipertemukan, yang bertunang minta dipercepatkan sehingga kahwin, si duda dan janda minta digantikan, malah ada yang sudah beristeri minta ditambahkan.

Opss! Sehinggakan ada di antara plot drama dan filem membuktikan kuasa Jabal Rahmah dalam merealisasikan impian uda dan dara untuk dipertemukan jodoh. Romantis bukan? Cinta bertaut di Jabal Rahmah. Okaylah…

Hebat benar pengaruh Jabal Rahmah pada pemikiran umat Islam. Ramai yang beranggapan Jabal Rahmah menjadi tempat mengabdikan rasa cinta manusia. Jika barat punya Eiffel Towel di Paris sebagai menara cinta, kita pula punya Jabal Rahmah yang sentiasa menjadi saksi doa jutaan manusia yang mengharap kepada jodoh mereka. Hakikatnya, benarkah berdoa di Jabal Rahmah ini termakbul? Apakah ia sesuatu yang disyariatkan dan disuruh atau sekadar bid’ah?

Pengerusi Fa’izin International Travel & Tours Sdn Bhd, merangkap Pensyarah Pengurusan Haji & Umrah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Lukmanul Hakim Hanafi, mengakui, ramai yang percaya bahawa Jabal Rahmah merupakan tempat memohon jodoh. Sehinggakan ada yang mahu mengerjakan Umrah mahupun Haji semata-mata ingin menjejakkan  kaki ke bukit kecil itu.

Pelbagai gelagat yang menggelikan hati tatkala menjejakkan kaki di sana. Ada di antara jemaah yang dalam berkeadaan uzur, namun apabila tiba di bukit kecil tersebut, mereka seakan bertenaga untuk panjat sehingga ke puncak bukit itu. Begitu hebat pengaruhnya.

Jika diikutkan, tiada mana-mana nas pun yang mewajibkan kita untuk berdoa di Jabal Rahmah. Sedangkan dalam ibadah haji sekalipun, kewajipan sah haji itu terletak apabila jemaah berwukuf di Arafah. Dalam muzakarah Lembaga Tabung Haji juga telah bersepakat, mana-mana jemaah yang tidak berwukuf di Arafah pada musim haji, maka dia tidak akan mendapat haji,” ujar Lukman.

Namun, kebanyakan umat Islam terlalu percaya akan kisah-kisah yang ditokok tambah sehingga menjadikan ia sebagai satu pegangan. Ia juga seperti meletakkan Jabal Rahmah kepada simboliknya pertemuan di antara Nabi Adam dan isterinya Hawa. Sedangkan bukit yang menjadi lambang cinta mereka langsung tidak punya hubungkait dengan makbulnya doa jodoh seseorang apabila kita berdoa diatas bukit tersebut.

Makbul yang hanya kebetulan

“Di mana Jabal Rahmah?” Percaya atau tidak itulah soalan pertama yang keluar dari mulut jemaah umrah mahupun haji dari Malaysia apabila menjejakkan kaki di Arafah. Menurut Lukman, tidak kira yang muda mahu pun tua pasti akan bertanya soalan yang sama. Ada yang ke sana semata-mata mahu berdoa dan tidak kurang juga segelintir jemaah yang memahat nama mereka dan pasangan di sana.

Apakah sebenarnya cerita di sebalik doa si dara, janda, teruna mahupun duda ini? Kenapa mereka berdoa di Jabal Rahmah?

Ramai yang berdoa agar bertemu jodoh ketika melawat ke Jabal Rahmah.

Berkisah di sebalik Jabal Rahmah sebagai bukit jodoh, Lukman menjelaskan  ceritanya bermula apabila bukit kecil itu dikaitkan dengan kisah pertemuan semula Nabi Adam AS dan Hawa setelah dikeluarkan  dari syurga.

Kedua-duanya telah tercampak ke dunia selepas tergoda dengan hasutan Iblis iaitu melanggar perintah Allah dengan memakan buah khuldi.

“Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga kesuatu masa (mati).”  (Al-Baqarah:36)

Walaupun, tidak dapat dipastikan berapa lama tempoh Adam dan Hawa terpisah namun, keduanya menyesal dengan perbuatan tersebut lalu memohon ampun kepada Allah sebagaimana dalam surah al-A’raaf ayat 23,

“Ya Tuhan, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk dalam orang-orang yang rugi.” 

Maka, Allah mengampuni keduanya, lalu dipertemukan mereka di sebuah tempat di Arafah. Jadi, kebanyakan kita percaya Jabal Rahmah merupakan simbolik kepada kuatnya jodoh diantara Adam dan Hawa seperti mana yang diimpikan oleh setiap manusia.

Ujar Lukman, jika kita fikir Jabal Rahmah adalah sebab kabulnya doa seseorang, maka ianya adalah salah!  Apabila kita datang ke Jabal Rahmah, lalu berdoa di sana, dan kebetulan pula doa tersebut termakbul, ia bukanlah disebabkan Jabal Rahmah, namun ia adalah sebab perintah dari Allah sebagaimana dalam surah Mukmin: 60,

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya, orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Tambahnya, ayat tersebut cukup jelas bahawa, tidak kiralah dimana sekalipun kita berdoa, ia pasti akan dikabulkan oleh Allah, kerana Allah telah menyuruh hambanya untuk berdoa. Ia bukanlah disebabkan doa di bukit kecil tersebut. Doa yang terkabul di Jabal Rahmah hanya sekadar kebetulan, sedangkan yang lebih pasti apabila kita berdoa kepada Allah, nescaya Dia pasti mengabulkannya.

Allah sentiasa mendengar doa dari hamba-hambaNya, sekalipun kita hanya berdoa di atas katil. Jadi, janganlah kita meletakkan kuasa Jabal Rahmah melebihi kekuasaan Nya kerana Dia lebih berhak pada sesuatu dari kita.  

Apatah lagi, apabila kita berdoa dalam keadaan menangis dan merintih seperti benar-benar mengharapkan ia diperkenan oleh Allah. Percayalah, ia tidak langsung punya kaitan dengan Jabal Rahmah.

Jika kita bangun pada sepertiga malam sekalipun dengan melakukan solat sunat taubat dan hajat dalam keadaan menangis serta merintih, dengan izin Allah, pasti ia akan dimakbulkan.

Sebagaimana firman Allah, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Dan Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”  (al-Baqarah:186)

Allah sangat suka kepada hamba Nya yang sering berdoa. Hal ini telah disebutkan dalam satu hadis riwayat Bukhari, dari Abu Musa al-Asy’ari menjelaskan, ketika kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan, kami tidak mendaki tanah tinggi, menaiki bukit dan menuruni lembah, melainkan kami hanya meninggikan suara ketika bertakbir.

Kemudian Baginda mendekati kami dan bersabda,

“Wahai sekalian manusia, tahanlah dirimu, sesungguhnya kamu tidak berdoa (menyeru) kepada Tuhan yang tuli (pekak) dan jauh, akan tetapi kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu melebihi dekatnya seseorang dari kamu dengan leher dan binatang tunggangannya.”

Awas! Obses undang syirik

Awas kepada mereka-mereka yang melebih-lebih (ekstrem) dalam meletakkan kepercayaan kepada bukit cinta. Ini kerana, terdapat segelintir dari kita yang boleh dikatakan sebagai ekstrem kepada bukit itu sehingga mengundang kepada perbuatan syirik (menyekutukan Allah).

Inilah bukit Rahmah tempat pertemuan nabi Adam a.s. dengan isterinya Hawa

Hukum menyekutukan Allah adalah haram. Maka sebaik-baiknya ia perlu dielakkan. Tambah pula, ia dibimbangi mengundang kepada ibadah haji mahupun umrah menjadi sia-sia.

Sebagimana firman Allah,”Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (an-Nisaa:48)

Ianya tidak menjadi masalah apabila kita ke sana dan hanya berdoa. Selebihnya cukuplah kita berserah kepada Allah. Tidak dapat dinafikan, terdapat di antara jemaah yang mencapai tahap seakan memuja-muja bukit tersebut seakan ia ‘bertuah’ dan berkuasa dalam menunaikan permintaan manusia.

Pelbagai kerenah dan ragam manusia yang dapat dilihat tatkala berada di atas bukit berkenaan. Tak kurang juga, ada yang menampal gambarnya dan pasangan, mengharapkan itu adalah jodohnya hingga ke syurga.

Pernah segelintir jemaah yang percaya, jika mereka menanam sebiji batu di Arafah, apabila mereka mati nanti tidak akan dimasukkan ke dalam neraka. Ia kononnya, telah dikaitkan bahawa batu yang di tanam di padang Arafah itu akan menutup pintu-pintu neraka di akhirat kelak.

Namun tegasnya, tiada apa yang akan menutup pintu neraka selain dari apa yang dikehendaki oleh Allah. Batu, bukit mahupun apa sekalipun, tidak punya sebarang kuasa dalam memberi takdir manusia.

Cukuplah kita percaya dengan kuasa dan takdir dari Allah. Allah Maha Mengetahui segalanya. Jika seseorang itu telah pun Allah tetapkan menjadi jodoh buat kita di Luh Mahfuz lagi, pastinya ia tetap menjadi pasangan hidup kita. Wallahu a’lam

________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare