KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan beliau bukan lagi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ini selepas kontrak beliau sebagai Pengerusi PTPTN itu telah pun berakhir pada 17 Jun lalu.

“Saya rasa tak perlu ada tanda soalan pada laporan ini.

“Seingat saya, memang sudah lama saya sebutkan secara terbuka bahawa hari akhir saya di PTPTN ialah pada 17 Jun 2022.

“Next step (langkah seterusnya), tunggulah hingga next step itu sampai,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas laporan media yang mengatakan kedudukannya sebagai Pengerusi PTPTN ketika ini menjadi tanda tanya.

Ia kerana jawatan yang disandang Wan Saiful itu dalam laman web rasmi PTPTN sudah pun dikosongkan.

Baca artikel berkaitan: Bersatu calonkan empat nama ganti Zuraida? Wan Saiful antara pilihan

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi daripada perbadanan tersebut mengenai kekosongan jawatan tersebut.

Wan Saiful dilantik sebagai Pengerusi PTPTN sejak 18 Jun 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Nama beliau disebut-sebut bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baharu.

Selain Wan Saiful, tiga nama lain yang dilaporkan dicalonkan Bersatu adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Namun begitu, Wan Saiful perlu dilantik sebagai Senator terlebih dahulu sebelum boleh dipilih selaku menteri.

Menurut laporan yang memetik sumber, pelantikan Wan Saiful ke jawatan itu tidak mustahil memandangkan kuota Bersatu untuk jawatan Senator masih belum diisi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram