Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjabat tangan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas melancarkan Rangka Tindakan Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan, hari ini.

KAEDAH-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara-pindah’ (BLMT) atau pertukaran tanah (landswap) akan diberi pertimbangan supaya sebahagian besar matlamat Rangka Tindakan Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan (Mindef) dapat dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah BP3.0.

Beliau berkata, sebanyak lima projek perumahan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, ini membuktikan bahawa kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan Mindef sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan pengurusan tertinggi kementerian.

Sejak 1 Januari lalu, Perdana Menteri memaklumkan, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang saya rasmikan pada 6 Mac lalu.

“RKMAT Kem Oran di Perlis; RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak serta RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah pula akan diduduki dalam masa terdekat.

“Semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas dengan RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat,” katanya.

Baca artikel berkaitan: BP3.0 jamin kemudahan perumahan warga pertahanan – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian BP3.0, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan BP3.0 merupakan projek perumahan jangka panjang Mindef yang menitikberatkan kebajikan warganya.

Menurut beliau, perancangannya cukup besar dan meluas yang bukan sahaja menuntut komitmen serta kesungguhan tinggi malah memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak terbabit.

Ismail Sabri berkata, matlamat BP3.0 adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baharu serta ditambah baik kediaman sedia ada.

“Saya amat menghargai usaha Mindef menjadikan inisiatif pemilikan rumah mampu milik sebagai salah satu fokus di bawah BP3.0.

“Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat keperluan tambahan yang ingin diketengahkan boleh maklumkan terus kepada saya atau Datuk Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

“Insya-Allah, kerajaan akan terus menghulur bantuan kepada Keluarga Malaysia Pertahanan dengan sebaik mungkin,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram