
RANDAU mengikut maksud Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud pertukaran pendapat tentang isu-isu tertentu.
Inflasi pula mengikut DBP bermaksud keadaan harga barang bertambah tinggi disebabkan bertambahnya kuasa membeli.
Melihat kepada situasi semasa ketika ini, kadar inflasi yang semakin tinggi telah ‘menjerut’ ramai pihak terutamanya golongan B40.
Pelbagai inisiatif telah dan sedang dilakukan kerajaan serta pihak terlibat untuk membantu mengurangkan tekanan kadar inflasi yang semakin tinggi ini.
Tidak terkecuali Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang menganjurkan Siri Randau MPM ke-10 yang bertemakan ‘Inflasi Meledak Mendadak, Rakyat Terperangkap’.
Sidang meja bulat itu mengumpulkan tokoh-tokoh negara, pemain industri, ahli akademik dan wakil agensi awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membincangkan ketetapan terbaik untuk menangani isu inflasi.
Baca artikel berkaitan: Kerajaan perlu perkasa rancangan tangani inflasi – Anuwar Ali
Antara yang hadir Setiausaha Politik Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr. Budiman Mohd Zuhdi; Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Mohamad Hanif Omar, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad; dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Presiden Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menggalas tugas sebagai moderator untuk mengemudi sidang tersebut.
Tiga ahli panel yang berkongsi pandangan mengenai isu inflasi dalam sidang ini ialah Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Prof. Tan Sri Datuk Dr Anuwar Ali; Felo Penyelidik Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad dan wakil MPM, Syed Zikiri Syed Hassan Shahabudin.
Hampir tiga jam bersidang dengan pelbagai hujah, kritikan dan pandangan, Randau MPM itu berjaya mencari ketetapan terbaik untuk diserahkan kepada kerajaan berhubung isu inflasi dalam negara.
Berikut merupakan ketetapan yang telah dicapai yang dibaca Hasan:
Pertama, Randau yang mulia ini perakui usaha kerajaan tangani inflasi ini sebagai tindakan jihad yang dilaksanakan dengan keredhaan Allah SWT. Dengan nawaitu itu, kami semua mahukan kepastian semua pihak terlibat dalam gerak-kerja ini akur dengan tata-cara, adab, rukun dan tertib dalam berjihad.
Kedua, dengan tawakkal kami perakui bahawa kerajaan wajib siapsiagakan semua pemegang-taruh terbabit, terutama pemimpin, jentera pentadbirannya dan rakyat, untuk bersungguh-sungguh (jihad) menggalas amanah, tanggungjawab serta peranan masing-masing, dengan cara yang wajar, bagi samasama menangani inflasi yang melanda, ibarat ombak yang membadai pantai, tanpa henti, yang ada kalanya ia pasang-surut.
Ketiga, memandangkan terdapat dalam kalangan komuniti bisnes pihak-pihak yang pengaruh dan membentuk pelbagai blok kartel disepanjang rantaian-nilai sesuatu sektor ekonomi itu semakin ketara dalam mencorakkan kadar dan tahap ancaman inflasi ini, keupayaan tadbirurus dan integriti semua institusi penguatkuasa terlibat wajib diperkasakan. Usaha ini termasuklah juga pembangunan beberapa sistem dan applikasi digital dan IT yang dapat digunakan bagi tujuan perkongsian maklumat secara telus, tepat dan semasa berkaitan inflasi serta mesej-mesej pengembangan kepenggunaan untuk dikongsi bersama dengan semua pemegang-taruh, terutama rakyat.
Keempat, impak inflasi ini hendaklah juga ditangani dalam skop yang lebih luas, bukan sekadar inflasi dari perspektif kenaikan kos barang dan perkhidmatan saja. Impaknya keatas kemerosotan nilai matawang yang juga jejaskan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, termasuk dikalangan generasi millennial yang sedang dalam proses menyediakan diri mereka samada membina kerjaya atau membina bisnes masing-masing, hendaklah juga diambil perhatian dan tindakan wajar oleh kerajaan. Mengambilkira kira kesemua kenyataan itu dan diadunkan dengan buah fikiran, lontaran ilham serta saranan, malah desakan dari para peserta sekelian, maka ketetapan berikut diperakui secara bersama, sepakat dan saksama, untuk diangkat sebagai tindakan yang wajib dilaksanakan oleh semua kelompok pemegang-taruh, terutamanya kerajaan:
- Kesemua Peserta Randau ini menganggotai Jawatankuasa Pemikir Jihad Tangani Inflasi MPM, bagi diberi laluan khas oleh kerajaan untuk berurusan secara langsung dengan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan oleh Kabinet pada 29 Jun 2022;
- Menerusi Jawatankuasa ini, Peserta Randau semua kekal berperanan mengemukakan saranan, ilham malah teguran, terhadap sesuatu tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani isu inflasi ini;
- Dikalangan Peserta Randau ini terdapat kepelbagaian kepakaran, yang jika diminta atau diperlukan oleh Kerajaan, komited dan siap-siaga untuk menjalankan sesuatu kajian impak infalsi atau kaedah serta strategi jangka pendek atau jangka panjang bagi tanganinya;
- Memberi mandat kepada Jawatankuasa ini hasilkan dapatan berkala atau review. Ia bermula dengan penyenaraian semua ilham yang terkumpul dari Randau ini, yang akan dikemukakan dengan kadar segera kepada kerajaan. Niat berbuat demikian ialah untuk diketahui semua keberhasilan usaha murni ini oleh kerajaan.
Ketetapan yang telah dicapai itu diserahkan secara fizikal kepada Budiman untuk dipanjangkan kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram