adab minum air zam zam

Ahli fuqaha sependapat, sunat bagi para jemaah untuk minum air zamzam baik ketika menunaikan haji mahupun umrah.  Selain itu, mereka juga berpendapat, sunat untuk dikongsi air berkat ini bersama-sama dengan golongan yang tidak berpeluang ke tanah suci.  

Zamzam merupakan air yang paling suci.  Menurut riwayat, air ini telah digali oleh malaikat Jibril untuk menghilangkan rasa dahaga Nabi Ismail sewaktu ibunya, Siti Hajar meninggalkannya untuk mencari air di padang pasir yang panas dan kering sambil berlari-lari anak tujuh pusingan di antara Safa dan Marwah.

Diceritakan, ketika Siti Hajar menemui mata air ini dalam cuaca yang terik, beliau menutupnya dengan batu dan pasir kerana takut ia akan kekeringan. Bagaimanapun, Allah telah berjanji bahawa air zamzam tidak akan kering sehingga hari kiamat dan inilah keajaibannya. Buktinya, walaupun jutaan liter diambil tiap kali tibanya musim haji, air ini tidak pernah habis!

Tidak perlu dinyatakan khasiat air ini kerana semua orang sudah maklum mengenainya.  Apatah lagi keistimewaan air ini banyak diceritakan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.  Antaranya Rasulullah bersabda,

“Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zamzam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan serta penawar bagi pelbagai penyakit.” (HR at-Tabrani dan Ibnu Hibban)

Apa pun, banyak pandangan tentang  cara minum air zamzam.  Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah, katanya,

“Seorang laki-laki telah datang menemui lbnu Abbas. Lalu bertanya lbnu Abbas, “Tuan datang dari mana?” Lelaki itu menjawab, “Saya baru lepas minum air Zamzam”.  Tanya lbnu Abbas lagi, “Adakah tuan minum itu mengikut cara yang sepatutnya’?”

Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya bertanya pula kepada lbnu Abbas, “Bagaimanakah caranya wahai  lbnu Abbas?” Maka lbnu Abbas pun menjelaskan, “Apabila minum air zamzam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana, kemudian baru teguk lagi, dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perbezaan di antara kita dan orang ramai (kaum munafik) ialah bahawa mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zamzam.” (HR addara Qutni dan lbnu Majah).

Telaga zam zam yang sentiasa mengalirkan air sejak dari zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga kini

Justeru di sini beberapa adab yang telah digariskan oleh ulama ketika minum air zamzam

Pertama: Menghadap kiblat.

Minum air zamzam menghadap Kaabah atau kiblat merupakan satu bentuk ungkapan tauhid yang membuktikan keagungan serta keesaan Allah. Amalan meminum menghadap kiblat merupakan amalan sunnah yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. setiap kali Baginda meminum air rahmat ini.

Kedua: Boleh berdiri atau duduk kerana ada hadis menyuruh untuk kedua cara tersebut.

Terdapat percanggahan pendapat di antara para ulama mengenai etika sewaktu meminum air ini. Ada yang berpandangan, sunnah untuk minum sambil duduk seiring dengan apa yang sering disarankan oleh Baginda untuk  duduk ketika  minum. Manakala ada sesetengah yang berpendapat disunatkan untuk kita minum sambil berdiri seperti yang termaktub di dalam sebuah hadis. Dari Ibnu Abbas r.a. katanya,

“Aku pernah menuangkan air untuk Rasulullah s.a.w di sumur zamzam, lalu Baginda minum. Padahal beliau sedang berdiri.” (HR Muslim).

Manakala satu lagi hadis menceritakan, Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w., bahawasanya beliau pernah melarang seorang laki-laki minum sambil berdiri. Kata Qatadah, lalu kami bertanya, “Kalau makan?” Jawab Anas, “Itu lebih buruk dan keji.” (HR Muslim)

Ketiga: Berniat sebelum meminumnya dengan niat apa yang kita mahu kerana Allah memperkenankan niat bagi peminumnya. Rasulullah bersabda,

“Air zamzam diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki.” (HR Jabir, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Muawiyah)

Rasulullah bersabda lagi, “Air zamzam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkan mu.  Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air zamzam adalah galian Jibril, dan curahan minum daripada Allah kepada Ismail.” (HR Darul Quthni dan Al-Hakim)

Keempat: Membaca Basmalah setiap kali meminumnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai.”  (HR Tarmizi)

Kelima: Minum dengan tiga nafas iaitu dengan tiga teguk.

Minum secara gopoh gapah akan mudah membuatkan seseorang itu tersedak. Oleh itu, minumlah air  dengan  cara tidak berterusan agar air dapat masuk ke dalam tubuh dengan lebih sempurna. Rasulullah s.a.w. bersabda,

Air zam zam yang telah siap dibotolkan untuk para jemaah haji dan umrah

“Jangan minum terus menerus seperti cara haiwan minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk, dan tiga teguk, tiga teguk.  Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan baca Alhamdulillah apabila selesai meminumnya.” (HR Tarmizi).

Selain itu, kita juga perlulah memuji Allah dengan menyebut “Alhamdulillah” pada setiap nafas tersebut.

Ketujuh: Minum dengan tangan kanan.

Dari Ibnu Umar r.a. katanya Rasulullah bersabda, “Apabila kamu makan dan minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan, kerana hanya syaitan yang makan dan minum dengan tangan kiri.” (HR Muslim)

Kelapan: Berdoa setelah selesai minum.

Selain dari memohon keredaan Nya, kita harus memanjatkan doa selepas meminum air berkat ini sebagai tanda syukur atas nikmat yang dikurniakan. 

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare