Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menyerahkan ketetapan Randau ke-10 tahun 2022 kepada Setiausaha Politik Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr. Budiman Mohd Zuhdi (tiga dari kiri) pada Sidang meja Bulat dengan Tema Inflasi Meledak Mendadak, Rakyat Terperangkap di Wisma MPM, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJAK beberapa bulan lalu harga ayam menjadi taraf kayangan, pernah mencecah lebih RM10 sekilo di beberapa bandar sebelum kerajaan memperkenalkan kawalan harga.

Senario beberapa bulan lalu itu menyaksikan ramai bercakap mengenai sekuriti makanan, dari perbualan di warung hinggalah di pintu lif pejabat kerajaan di Putrajaya.

Diimbau sedikit, istilah food security bermula sekitar 70-an dan banyak dibangkitkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak tahun 2000 termasuklah dalam bentuk amaran.

Apakah Malaysia berdiam diri? Sudah tentu tidak. Negara ini dalam bab merancang memang tidak pernah ketinggalan. Sama ada menggubal undang-undang mahu pun membuat dasar.

Ini menyaksikan kita ada Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025. Ya sudah ada lama iaitu sebelum harga ayam menjadi kayangan sehinggalah terpaksa dikawal kerajaan menerusi pemberian subsidi.

Baca: DAN 2.0 tumpu usaha tingkat sekuriti makanan – PM

Ada 5 teras, 15 strategi dan 96 inisiatif. Dasar ini dibangunkan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan.

Bermula daripada input pertanian seperti benih, baka, baja, racun dan makanan haiwan hingga ke sisa makanan.

Salah satu objektif dasar ini ialah memperbanyakkan sumber dalaman dan mempelbagaikan sumber import.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad (tengah) dan Tun Mohamed Haniff Omar antara yang hadir pada Sidang meja Bulat dengan Tema Inflasi Meledak Mendadak, Rakyat Terperangkap di Wisma MPM, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Atas kertas memang cantik tetapi seperti undang-undang, ada kelemahan di peringkat penguatkuasaan atau pelaksanaan. Ini isu di Malaysia.

Hinggakan apabila kerajaan mahu mengawal harga daging ayam dan telur, subsidi terpaksa disalurkan bagi membantu rakyat mendapatkan ayam pada harga yang lebih stabil.

Benar, harga makanan termasuk ayam ketika ini fenomena global. Namun sebagai sebuah negara yang menerima hujan, matahari dan mempunyai tanah yang cukup, masih banyak boleh dilakukan selain menggunakan kaedah subsidi yang melibatkan kewangan negara.

Baca: Harga makanan dunia naik 30 peratus lapor FAO, moga RON95 kita kekal

Perkara inilah yang menjadi topik perbincangan dalam Siri Randau Ke-10 Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan tema Inflasi Melonjak Mendakak, Rakyat Terperangkap.

Berlangsung di ibu negara semalam, lebih 50 peserta daripada pelbagai latar belakang hadir di ibu pejabat MPM itu.

Ada ahli akademik, pembuat dasar, pemimpin industri, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi berkaitan dan juga tokoh-tokoh dihormati.

Ini termasuk Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara.

Di pihak kerajaan, Datuk Dr Budiman Mohd Zuhdi – Setiausaha Politik kepada Tan Sri Annuar Musa hadir dan beliau tidak berganjak dari tenpat duduknya selama hampir tiga jam program berjalan.

Bosnya, Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia) adalah Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi – watak penting yang diharapkan menangani cabaran ini yang menyesakkan ramai rakyat terutama B40 dan sebahagian besar M40.

Inflasi sudah tentu dalam pelbagai kategori tetapi yang paling dirasai ketika ini ialah inflasi makanan.

Untuk berlaku adil pada kerajaan, sudah tentu inflasi tenaga tidak dirasai di Malaysia kerana petrol RON95, diesel, gas memasak dan tarif elektrik kekal.

Sedangkan rakyat di kebanyakan negara sudah merasai pertitnya. Misalnya setong gas memasak (15 kg) di Thailand mencecah lebih RM45.

Baca: Indonesia naik tarif elektrik, di Thailand gas masak sudah RM45 setong, tapi PH pula ajak protes

Di Australia juga menyaksikan harga sayur-sayuran naik antaranya akibat peningkatan kos elektrik dan bahan bakar.

Malaysia di sebalik tiada perubahan pada harga bahan bakar dan elektrik, peningkatan harga makanan tidak dapat dibendung.

Tiga panel sesi randau ini terdiri daripada Tan Sri Dr Anuwar Ali, Datin Paduka Prof Dr Fatimah Arshad dan Syed Zikri Syed Hassan.

Prof Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali (kanan) dan Dr Fatimah Arshad (kiri). GAMBAR: Abd Razak Aid

Mereka merupakan yang arif dalam bidang ekonomi dan perniagaan khususnya berkaitan makanan.

Tidak hairan pelbagai idea menarik dijana sebagai jalan keluar permasalahan ini.

Bagi Dr Fatimah – satu nama tidak asing dalam ekonomi pertanian, krisis yang dihadapi ketika ini adalah paling parah dalam sejarah kerana tiga serangkai.

“Wabak, ekonomi dan cuaca,” kata Profesor Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan UPM itu.

Banyak saranan diutarakan dan tidak terkecuali teguran termasuk perbandingan dengan negara jiran dan serantau kerana lebih maju dan komited dalam pertanian makanan.

Dasar sudah tentu antara sebabnya yang beliau kaitkan dengan monopoli GLC sedangkan yang perlu diperkasakan ialah petani dan pekebun kecil.

Bagi Syed Zikri yang juga pengerusi Kluster Sekuriti Makanan MPM pula membangkitkan mengenai keperluan untuk mempunyai syarikat trading sendiri jika benar-benar memahami rantaian bekalan makanan global.

Memberi contoh mudah mengapa Singapura yang tidak ada tanah boleh berada pada ranking lebih baik dalam indeks sekuriti makanan global – menerusi penglibatan syarikat pelaburan strategik negara itu dalam Olam Iternational.

Begitu juga kesan kawalan harga dan kewujudan industri gelap.

“Kerajaan bekalkan minyak masak peket bersubsidi 60,000 tan sebulan.

“Jika dihitung, jumlah isi rumah di Malaysia, 30,000 tan sudah mencukupi tetapi ke mana pergi? Selatan Thai? Pulau-pulau di Selatan Filipina?,” jelasnya.

Baca: Penyeludupan minyak masak makin rancak, jangan sampai rakyat sukar dapat bekalan

Paling menarik, Dr Anuwar – bekas Naib Canselor UKM itu menyentuh soal melaksanakan apa yang dirancang.

“Kemampuan merancang kita hebat tetapi apa yang dirancang laksanakanlah,” kata Prof. Emeritus itu ringkas pada pusingan kedua sesi berkenaan semalam.

Selain panel, beberapa peserta turut berpeluang melontarkan pandangan masing-masing.

Antaranya seorang individu yang berada dalam pengurusan kanan di sebuah GLC ternama.

Usianya masih muda tetapi berpengalaman luas dalam pelbagai syarikat khususnya dalam bekalan makanan dan perladangan.

Sudah tentu beliau mempertahankan peranan GLC dan pada masa sama ada juga menyuarakan pandangan berbeza dengan panelis.

Malah, beliau yang berpendidikan dari sebuah universiti perniagaan ternama di London mengimbau kenangannya bagaimana seorang pensyarah terkenal di institusi itu memuji Rancangan Malaysia.

Pensyarah itu sifatkan Malaysia sebagai satu-satunya negara di dunia berjaya melaksanakan apa dirancang dalam rancangan pembangunan jangka panjang seperti RMK.

Contoh ini bermakna keupayaan Malaysia tetap ada dalam memastikan apa dibincang sejak beberapa bulan lalu mengenai sekuriti makanan dan inflasi dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Mungkin selama ini ada yang ralit – dalam isu jagung dedak ayam sebagai contoh. Apabila harga di negara pengeluar kembali stabil, kebun jagung bijirin di Malaysia entah apa jadi.

Baca: Dedak import mahal antara punca harga ayam naik

Sidang meja Bulat dengan Tema Inflasi Meledak Mendadak, Rakyat Terperangkap di Wisma MPM, Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Maka ambil iktibar. Kata Tun Haniff pada sesi randau itu, “kita kena ada satu hati, satu tujuan lawan lonjakan inflasi”.

Tokoh itu imbas ke tahun 1952 bagaimana kejayaan Gerald Templer melawan kemaraan komunis di Tanah Melayu.

Nampak sukar dikaitkan dengan sekuriti makanan serta inflasi yang dibincangkan pada Julai 2022, tetapi beliau tetap berjaya memberi satu contoh yang baik dalam soal kepimpinan.

Katanya, Templer mahukan semua, termasuk yang bekerja sebagai guru, JKR mahu pun siapa sahaja supaya bersama menggembleng tenaga melawan komunis – bukan hanya askar dan polis

“Aku kerja jaga parit tali air, macam mana aku nak bantu? Dah tu, kau keluar masuk tak nampak ke jejak komunis, bekas makanan komunis? Jumpa, repot polis lah. Itulah peranan kau,” kata bekas Ketua Polis Negara itu.

Itulah yang dilakukan seluruh negara ketika itu melibatkan penggemblengan tenaga dan sumber. Barulah komunis dikekang dan dikalahkan.

“Templer ada political will. Tak sampai dua tahun. Diwujudkan jawatankuasa bertindak peringkat Pusat, negeri sampailah daerah. Tun Abdul Razak pun belajar dari Templer sampai boleh majukan negara.

“Bekas Presiden Korea, Park (Cung-hee) juga menggunakan pegawai Malaysia dalam merangka pelan peindustrian negara itu.

“Begitulah kesannya apabila tindakan bersepadu dihalakan bagi menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya.

Hikmah cerita ini ialah semua ada peranan untuk menjaga perut rakyat. Bukan hanya satu dua kementerian tetapi semua. Dan ini termasuklah pengguna sendiri.

Seperti kata Budiman usai majlis itu, Annuar sendiri ketika majlis MPM ini berlangsung sedang mempengerusikan pre council sebelum Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok (hari ini).

“Mungkin akan ada satu pengumuman berkaitan minyak masak,” ujarnya yang turut merakamkan penghargaan pada majlis seperti itu sambil berkongsi ada petani di kawasannya sudah mencipta kekayaan menerusi pertanian makanan.

Baca: Harga minyak masak akan turun secara berperingkat – Annuar Musa

Memang sesuai pasukan bertindak khas yang ditubuhkan kerjaaan dinamakan jihad. Jihad bermakna berusaha bersungguh-sungguh.

Dalam konteks ini bersungguh-sungguh memastikan inflasi terkawal. Maka berusahalah semua dengan satu hati dan satu tujuan seperti kata Tun Haniff. Kita lawan inflasi.