Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelbagai 'hadiah istimewa' buat warga FELDA sempena Sambutan Hari Peneroka.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan beberapa peruntukan khas akan diberikan buat warga FELDA sempena Sambutan Hari Peneroka hari ini.

Menurut Perdana Menteri, FELDA akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd.

Jelas beliau, dengan pengambilalihan itu, FELDA dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan lagi sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

“Keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah.

“Saya berbesar hati ingin berkongsi peningkatan produktiviti perladangan FELDA telah membawa kepada penciptaan nilai buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun.

“Peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan sehingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5 peratus kadar perahan minyak.

“FELDA juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) diguna pakai.

“SPMS adalah aplikasi pintar yang diguna pakai membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: PM berbangga kemajuan dikecapi Felda hasil usaha peneroka

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengumumkan RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

Sebagai contoh, Perdana Menteri menjelaskan, bayaran sewaan selama 36 bulan
berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200.

“Bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, FELDA akan meneruskan projek-projek ini melalui inisiatif pembiayaan swasta di mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada FELDA.

“Bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi, saya mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan
menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA ini.

“Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pertukaran program Premier di MRSM FELDA kepada Program Ulul Albab.

Jelas beliau, Program Ulul Albab akan dilaksanakan bermula pada tahun akademik 2023 dan akan mengintegrasikan program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama
termasuk tahfiz al-Quran.

Selain itu, sempena ulang tahun penubuhan FELDA yang ke-66 tahun, Perdana Menteri mengumumkan satu lagi peruntukan khas sebanyak RM66 ribu bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta.

Tambah beliau, kerajaan juga mengambil keputusan bahawa hadiah tempat pertama Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) dinaikkan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta.

“Semoga ini terus menjadi pembakar semangat kepada warga FELDA untuk menjaga keceriaan dan keindahan kawasan rancangan di samping memupuk komuniti yang
bersatu padu,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram