
SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas dua pertuduhan membunuh abang dan kakak iparnya yang kedua-duanya ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka.
Ng Chun Ming, 61, seorang penganggur, didakwa membunuh abangnya Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Laluan Bercham Utara 26, Taman Bercham Aman antara pukul 6.45 petang 6 Julai dan 8.20 pagi 7 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semasa pertuduhan kedua dibacakan, Ng memaklumkan dia faham pertuduhan namun tidak pasti nama penuh mangsa wanita dan statusnya sama ada isteri atau teman wanita kepada abangnya, kerana mangsa baru berpindah ke kawasan itu.
Baca artikel berkaitan: Lelaki disyaki bunuh abang, kakak ipar direman seminggu
Jesseca berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana Ng faham pertuduhan yang dibacakan dan memintanya melantik peguam.
Mahkamah menetapkan 14 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar.
Media semalam melaporkan Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua mangsa yang merupakan seorang mekanik dan suri rumah ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka.
Beliau berkata pasukan polis bersama pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun yang tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat ditempatkan berdekatan dengan satu tertiarap manakala satu lagi tersandar pada dinding, dipercayai mati akibat kecederaan di kepala disebabkan senjata tajam dan objek tumpul namun tiada senjata ditemukan.
Susulan itu, polis memburu suspek yang menghilangkan diri bersama kereta jenis Proton Saga milik Ooi dan berjaya menahannya di Genting Highlands kira-kira 7.45 malam 7 Julai lepas.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram