PERNAH tak anda mengalami kejadian aneh semasa menyertai kursus bina semangat? Rasanya ramai yang pernah alami benda-benda mistik begini. Saya antara yang turut mengalaminya.
Kejadian ini berlaku pada tahun 2010. Ketika itu saya menyertai kursus bina semangat di sebuah pusat latihan di sebuah negeri di pantai barat semenanjung.
Selain saya, hampir 100 orang lagi kakitangan syarikat kami dari seluruh negara turut diarahkan menyertai kursus tersebut.
Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan di blok dorm yang berbeza. Disebabkan saya agak `terkenal’ di kalangan semua kakitangan itu, mereka memilih saya untuk menjadi ‘Penghulu’. Penghulu dalam kursus ini bermaksud ketua.
Sebagai ketua, saya kena datang paling awal. Sebelum masuk waktu berhimpun, saya sudah terpacak dulu di padang kawad dan dalam dewan. Malam pula, saya pulang paling lewat selepas menyelesaikan pelbagai perkara.
Malam pertama, oleh kerana ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dengan komandan kursus bersama fasilitatornya, saya pulang ke dorm agak lewat. Jam ketika itu menunjukkan hampir pukul 1.30 pagi.
Oleh sebab saya jenis selalu tidur sebelum pukul 11.00 malam, ia menyebabkan saya sukar untuk melelapkan mata. Saya hanya tidur dalam dua jam sahaja. Selepas itu, terus tidak boleh tidur semula.
Sekitar pukul 5.00 pagi, saya ambil keputusan untuk mandi di kolah sebelah bangunan dorm kami. Saya sengaja mandi awal kerana kami dikejutkan pukul 5.30 pagi. Kalau saya keluar mandi pukul 5.30 pagi, tentu berebut-rebut pula hendak menggunakan gayung.
Kem bina semangat itu letaknya di atas bukit, dalam kawasan berhutan. Air kolah itu saya rasa macam ada ais, sejuk betul. Ketika mandi, saya dengar pintu bilik mandi dibuka.
“Laa, kau Haris! Cepat mandi?” tanya saya kepada kawan saya itu.
Kawan saya bernama Haris itu adalah eksekutif bahagian pemasaran di Pulau Pinang. Dia masuk cuma selang dua tiga bulan daripada saya. Dalam kem bina semangat ini, Haris ditempatkan di Dorm B. Saya pula di Dorm A.
Sebaik ditegur, Haris tersenyum. “Aku tak boleh tidurlah. Kejap lagi nak masuk Subuh, baik mandi dulu,” jawab Haris langsung membuka bajunya, kemudian menyarungkan kain basahan berwarna hitam. Dia kemudian masuk ke dalam tandas yang terdapat di hujung bilik mandi itu.
Saya sambung mandi. Disebabkan air yang begitu sejuk, saya mandi agak cepat. Ketika hendak keluar dari bilik air itu, Haris masih lagi di dalam tandas.
“Ris… aku balik dulu!” saya melaung selepas menyidai seluar pendek pada tali ampaian yang terdapat dalam bilik air itu. Tapi, tiada jawapan.
Sampai di dorm, saya terus menyarung kain pelikat, baju melayu serta kupiah. Ketika itu rakan-rakan lain mula bangun. Seorang demi seorang keluar menuju ke bilik mandi.
Dalam hati saya berkata, nasib baik aku dah mandi dulu. Kalau tidak, gerenti kena berebut gayung dan tandas. Bayangkan, kolah cuma satu. Gayung ada 10, tandas dalam bilik air tu ada dua (di luar ada tiga lagi), sedangkan peserta lelaki ada dekat 50 orang. Memang sesaklah dibuatnya kalau masuk sekali gus.
Sewaktu melangkah keluar dari dorm, saya nampak beberapa orang peserta sedang berjalan menuju ke bilik air. Sebelum membelok melepasi blok dorm untuk ke surau, saya menoleh ke arah kawan-kawan yang sedang berjalan menuju ke bilik air.
“Eh?” spontan perkataan itu keluar dari mulut saya. Saya terpaku di situ. Betul ke apa yang aku nampak? Saya pandang betul-betul ke arah beberapa orang peserta yang sedang berjalan ke bilik air itu, terutama peserta yang berada di belakang sekali, seorang diri sambil menyelendangkan tualanya di bahu. Sampailah dia masuk ke bilik mandi, barulah saya meneruskan langkah menuju ke surau. Sambil melangkah, fikiran saya jadi bingung.
Lebih kurang 20 minit kemudian azan berkumandang dan kami sama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah. Setelah itu, kami balik ke dorm dan bersiap untuk ke padang kawad.
PROGRAM hari itu memang memenatkan. Program berterusan dan berakhir kira-kira pukul 10.30 malam. Disebabkan terlalu letih, malam itu saya tidur awal. Lebih kurang pukul 11.00, letak saja kepala di bantal, saya terus hanyut. Sedar-sedar, dah nak azan. Nasib baik ada kawan kejutkan, kalau tidak, Subuh pun hanyut.
Apa lagi, kelam kabutlah saya ke bilik mandi. Pagi itu, saya antara orang yang paling akhir masuk ke surau. Ketika itu sudah hampir hendak solat.
Selesai solat, tazkirah di sampaikan oleh imam. Saya masih mengantuk, beberapa kali menguap. Sambil itu saya pandang sekeliling. Ketika itu saya nampak Haris asyik memandang saya.
Bila pandangan kami bertembung, saya senyum padanya. Haris membalasnya, tetapi bagaikan ada sesuatu dalam renungannya itu. Saya abaikan saja perkara itu. Walaupun di hujung mata saya melihat Haris bersandar di dinding surau sambil memandang ke arah saya, saya biarkan saja.
HARI ketiga adalah hari terakhir kami di kem itu. Petang, program tamat dan kami kembali ke dorm untuk kemas katil, kemas barang, tukar pakaian dan mandi.
Sekitar pukul 5.00 petang selepas tunaikan solat Asar berjemaah, kami berkumpul semula sebelum berpisah. Sebagai Penghulu, saya mengucapkan terima kasih dan minta maaf kepada kem, kepada kawan-kawan dan tidak lupa kepada syarikat.
Kami kemudian menaiki bas untuk pulang ke ibu pejabat, kemudian ambil kenderaan masing-masing untuk pulang ke rumah. Sebelum menuju ke kereta, saya berjumpa dulu dengan kawan-kawan, termasuklah Haris.
Ketika kami berjabat tangan, Haris memandang saya seperti dia memandang saya di surau semalam. Pandangannya mengandungi pelbagai tanda tanya. Saya bertanya kepada Haris, kenapa dia pandang saya begitu.
“Ada benda lah aku nak tanya kat kau, Sham. Dari pagi tadi lagi aku nak tanya, tapi tak sempat,” kata Haris.
“Apa dia, tanyalah,” balas saya.
Kata Haris, dia berasa pelik sebab pagi hari kedua kami di kem, dia mandi awal di bilik mandi. Ketika itu baru pukul 4.50 pagi, tiada sesiapa di bilik air. Baru beberapa gayung dicurahkan ke badannya, Haris lihat saya masuk ke bilik mandi.
“Kita berbual kejap, lepas tu aku tengok kau buka baju dan pakai kain hitam, kemudian masuk ke tandas. Aku terus mandi, tapi kau terus tak keluar sampai aku habis mandi. Bila aku nak keluar, aku panggil kau, aku beritahu kau yang aku dah siap mandi dan nak balik ke dorm, tapi kau senyap aja,” kata Haris.
Apa yang Haris pelik ialah, semasa dia hendak ke surau, dia nampak saya sedang terburu-buru ke bilik mandi dengan memakai kain pelikat, tuala serta membawa berus gigi. Dari cara saya itu, memang jelas saya belum mandi lagi.
“Sebab itulah bila kau masuk ke surau, aku rasa pelik. Sepatutnya kau dah siap mandi, tapi kenapa kau nak pergi mandi lagi. Satu lagi, disebabkan kita orang yang paling awal mandi, sepatutnya kitalah yang paling awal ke surau. Tapi Subuh tu, kau antara yang paling lambat. Jadi, sebenarnya kau mandi berapa kali pagi tu?” Tanya Haris.
Bila dengar ceritanya itu, saya jadi bingung. Saya beritahu Haris, pagi kedua di kem itu saya memang terlewat. Saya bangun masa peserta lain semua dah bersiap-siap nak ke surau.
“Habis, yang aku nampak pagi tadi tu, siapa?” soal Haris sambil memandang saya dengan penuh tanda-tanya.
Saya garu kepala. Lalu saya ceritakan pula kepada Haris, pagi Subuh pertama kami di kem itu, saya bangun awal dan saya orang yang paling awal mandi. Lalu saya memberitahunya…
“Subuh tu, masa aku mandi, kau masuk, buka baju dan pakai kain sarung hitam. Kau tak terus mandi, tapi kau masuk ke tandas. Sampai aku habis mandi, kau masih tak keluar tandas. Semasa aku berjalan nak ke surau, aku nampak kau baru berjalan nak ke bilik mandi. Aku pun rasa pelik masa tu.”
Apabila saya ceritakan kejadian itu, Haris pula menjadi bingung. Jawab Haris, “Aku tak mandi awal Subuh tu. Aku bangun masa orang dah ramai ke bilik mandi. Satu lagi, aku tak guna kain sarung hitam untuk mandi. Aku guna seluar pendek!”
Betul kata Haris, sama ada dia dan saya, sewaktu mandi di situ kami menggunakan seluar pendek, bukan berkain hitam.
Kami berdua benar-benar bingung. Kalau begitu, maknanya ada sesuatu yang menyerupai kami? ‘Benda’ itu mempermainkan kami?
Sebelum kami berpisah, Haris mengingatkan saya kepada dua perkara, iaitu…
“Sham, kau perasan tak, ada kain hitam yang sentiasa tergantung pada pintu tandas bilik mandi tu. Kain tu sentiasa basah dan digantung dari dalam, macam ada orang dalam tandas tu. Tapi bila dibuka, tak ada orang.”
Ya, saya ingat. Memang ada sehelai kain hitam basah yang sentiasa digantung di atas daun pintu tandas bilik mandi. Ketika mandi sebelum balik pun saya nampak kain sarung hitam itu masih di situ, seolah-olah ada orang di dalam tandas berkenaan.
“Satu lagi, kau ingat tak, ada instruktor yang beritahu kita supaya jangan cakap takbur, jangan buat maksiat, jangan buang benda-benda bernajis dan kotor di sembarangan tempat, sebab kawasan kem kita tu `keras.’?” sambung haris.
Ya, saya ingat.
Habis tu, siapa yang menyerupai kami berdua itu?
**Pengalaman di atas diceritakan oleh Sham dari Kuala Lumpur.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’