JIKA anda pernah menonton filem The Texas Chainsaw Massacre yang diterbitkan pada tahun 1974, atau versi terbaru filem itu berjudul Texas Chainsaw Massacre yang disiarkan Februari tahun ini, pasti anda tahu watak utamanya si pembunuh sadis dengan wajah menyeramkan yang membunuh mangsa dengan tukul, pisau dan gergaji mesinnya.

Sebenarnya, watak pembunuh gila bernama Leatherface yang memakai topeng kulit dalam filem itu diinspirasikan daripada kisah benar.

Watak itu tercetus daripada kisah lelaki bernama Ed Gein, seorang pembunuh bersiri yang terkenal kerana keganjilannya. Nama sebenarnya ialah Edward Theodore Gein. Lahir di Winconsin, Amerika Syarikat pada tahun 1906.

Ed Gein, antara pembunuh yang mempunyai tabiat aneh dalam sejarah jenayah.

Dibesarkan di kawasan terpencil, Ed Gein dan abangnya, Henry dibesarkan dalam persekitaran yang bermasalah. Bapanya seorang pemabuk manakala ibunya seorang yang terlalu fanatik terhadap agama.

Ibu mereka melarang dua beradik ini keluar dari kawasan rumah mereka. Juga dilarang bergaul dengan sesiapa. Walaupun mereka pergi ke sekolah, mereka dilarang berkawan.

Tahun 1940, ayah mereka meninggal dunia. Pada tahun 1944, mayat Henry ditemui berdekatan rumah mereka setelah Ed Gein melaporkan kehilangan abangnya itu. Ramai mengatakan abangnya itu telah dibunuh oleh adiknya sendiri, namun pihak berkuasa tiada bukti kukuh untuk menahan Ed Gein.

Kemudian, pada Disember 1945, ibunya pula meninggal dunia. Tinggallah Ed Gein seorang diri menjalani kehidupan aneh. Dikatakan sifat kejamnya juga mungkin kerana pengaruh minatnya yang suka membaca buku berunsur anatomi, kanibal dan kekejaman Nazi.

Rumah keluarga Ed Gein yang jauh terpencil. Setelah polis datang memeriksa rumah ini, terbongkar jenayah kejam yang dillakukan Ed Gein.i

Kegilaan Ed Gein hanya terbongkar apabila seorang wanita bernama Bernice Worden dilaporkan hilang pada November 1957. Bernice merupakan seorang pemilik kedai perkakasan. Ed Gein merupakan orang terakhir yang mengunjungi kedai Bernice.

Pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke kawasan rumah Ed Gein. Di situlah mula terbongkar sesuatu yang mengejutkan. Dalam rumah lelaki ini dipenuhi dengan bahagian tubuh manusia.

Tulang, tengkorak dan kulit manusia memenuhi ruang rumahnya. Malah, terdapat perkakasan dapur dan perabot yang diperbuat daripada bahagian tubuh manusia itu.

Bukan hanya tulang, turut ditemui keratan kuku, lidah, hidung dan kemaluan wanita yang telah dikerat.

Polis menemui pelbagai keratan tubuh manusia di dalam rumah Ed Gein.

Polis menemui mayat Bernice dalam keadaan kepalanya telah dipenggal dan tubuhnya tergantung dalam keadaan telanjang pada siling rumah lelaki ini. Jantungnya pula tergantung dalam plastik.

Penemuan itu telah membongkar kerja gila Ed Gein. Lelaki ini akhirnya mengaku telah membunuh Bernice dan seorang lagi wanita bernama Mary, seorang pemilik bar di pekan yang sama yang dilaporkan hilang sebelum Bernice.

Berkenaan cebisan tulang dan anggota badan dalam rumahnya, Ed Gain mengatakan dia mendapatkannya setelah menggali lebih kurang 40 kubur untuk mengambil mayat-mayat di dalamnya. Tujuannya, mahu melengkapkan ‘dekorasi’ rumahnya dan menghasilkan ‘body suit’ wanita.

Ed Gein (tengah) ditangkap dan menjalani perbicaraan.
Sebahagian barangan yang ditemui di rumah Ed Gein yang diperbuat daripada cebisan tulang dan kulit manusia.

Ed Gein ditahan dan dibicarakan, namun dia mengaku tidak bersalah dan mendakwa dirinya tidak waras. Lelaki gila ini diperintahkan oleh mahkamah untuk ditahan di hospital sakit jiwa.

Di situlah Ed Gein menghabiskan sisa usianya sehingga dia meninggal pada tahun 1984 kerana penyakit kanser, ketika berusia 77 tahun.

Selain Texas Chainsaw Massacre, watak Norman Bates dalam filem Psycho (1960) dan watak Buffalo Bill dalam filem The Silence of The Lambs (1991) turut diinspirasikan daripada kisah Ed Gain.

Kisah Ed Gein telah menginspirasikan banyak watak ‘psyco killer’ dalam filem.
Antara filem yang diinspirasikan daripada kisah Ed Gein.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram