Oleh: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

SEKADAR membaca buku tanpa menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan kita hanya membayangkan dan pastinya tidak dapat menghayati apa yang sebenarnya telah menjadi sejarah pada satu ketika dahulu.

Aku dengar aku lupa, aku baca aku ingat, aku lihat aku faham. Tetapi dengan menonton filem Mat Kilau juga kita belum tentu memahami dan menghayati sejarah jika kita tidak meneliti sejarah sebenar yang telah berlaku di Tanah Melayu selama ini.

Filem adalah filem seperti genre sastera lainnya. Realiti dalam sastera seperti realiti dalam filem tetaplah realiti walaupun corak realitinya adalah berbeza sebagai sebuah karya seni. Hal ini perlu difahami terlebih dahulu sebelum kisah dalam filem ini diulas, dihentam secara membabi-buta mengikut selera dan kepentingan sempit atau perkauman.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan cuba menggambarkan secebis daripada ribuan perjuangan bangsa Melayu khususnya melawan penjajah Inggeris pada masa itu seperti juga perjuangan lain menentang Portugis dan Belanda sebelumnya.

Pembelotan adalah isu, bukan rasis. Sejak perjuangan melawan Portugis dan Belanda lagi kisah pembelotan dalam perjuangan berlaku. Dalam filem Mat Kilau terdapat watak peribumi iaitu Toga yang belot dalam perjuangan. Di samping itu tentunya askar-askar Sepoi yang menyebelahi Inggeris bertujuan menjaga kepentingan Inggeris di Tanah Melayu bertempur dengan kumpulan Mat Kilau. Itu adalah fakta.

Tak mungkin pengarah filem mengambil watak seorang Jerman yang tidak wujud dalam sejarah di Tanah Melayu untuk menjadi Sepoi sebagai askar Inggeris.

Juga ada watak seorang Tionghua yang turut membelot. Ini pun mahu diganti dengan watak Sepanyol? Ini juga adalah sejarah dan walaupun digambarkan seorang dua tapi pastinya dalam sejarah sebenarnya bukan sekadar seorang dua sahaja.

Semasa serangan Portugis di Melaka juga difahamkan walaupun Melaka mempunyai senjata seperti meriam, istinggar yang juga canggih tetapi tewas akibat pembelotan serta pembocoran rahsia kekuatan pertahanan Melaka, gudang senjata dan sebagainya oleh pedagang Tionghua dan India ketika itu serta peribumi Melaka sendiri. Antara watak yang dikenali umum ialah Kitul dan Mendeliar. Lainlah jika pengarah menghilangkan terus watak peribumi yang belot?

Justeru dengan mudahnya mengecap bahawa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sebagai rasis, berat sebelah dan seumpamanya oleh golongan dan pertubuhan tertentu adalah menggambarkan fikiran yang amat dangkal, bodoh dan seumpama ada udang di sebalik batu.

Sejarah adalah sejarah sama ada manis atau pahit dan perkara yang benar wajib diterima, ditelan dan dijadikan pengajaran. Jika hanya mahu menerima fakta yang baik sahaja tetapi menolak fakta buruk walaupun benar menunjukkan anda adalah kumpulan yang tidak rasional, tidak berpijak di bumi nyata. Ataukah anda juga buta sejarah negara sendiri seperti kebanyakan gen Y sekarang sama ada Melayu, Cina atau India. Adakah fakta benar tersebut mahu disorokkan, diputar belit baru anda menerimanya sebagai sejarah dan mewakili semua yang anda inginkan?

Kajian terbaharu banyak mendedahkan perkara benar yang selama ini tidak diketahui, disembunyi dan sebagainya. Terimalah kebenaran hakikat sejarah yang telah berlaku walaupun pahit tanpa kaca mata rasis terhadap peribumi Melayu jika anda fikir anda benar-benar warganegara ini. Atau sebenarnya anda ingin pergi ke mana-mana negara lain yang anda suka yang anda boleh mereka-reka sendiri sejarah yang manis-manis sahaja untuk telinga anda?

Syabas kepada semua yang terlibat menjayakan filem ini dari awal sehingga ditayangkan dan banyakkan lagi filem kepahlawanan, perjuangan seumpama ini seperti kisah pahlawan Melaka melawan Portugis, Dato’ Naning, Si Pitung dan Datuk Maharaja Lela dan lain-lain.

Malah sudah tiba masanya kurikulum sejarah dikaji semula bagi generasi sekarang peringkat rendah, menengah hingga universiti dan penulisannya wajib berteraskan peribumi negara ini seperti mana sejarah negara lain berteraskan peribumi negara masing-masing.

Buku-buku sejarah, novel, puisi, drama dan lain-lain yang berunsur sejarah wajar diperbanyak penulisannya serta diwujudkan sayembara berkaitan bagi menggalakkan usaha tersebut. Belajarlah menerima kebenaran dan hakikat sejarah negara ini sama ada manis atau pahit.

Penulis adalah Pengerusi Biro Perpaduan Ummah dan Komuniti
Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM)