SELURUH ahli serta pemimpin PKR dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan tidak menyerahkan tengkuk atau memberi ‘peluru’ kepada lawan politik menyerang parti tersebut.

Itu ingatan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menegaskan setiap anggota serta pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan parti.

Pada masa sama, beliau berkata, penting bagi semua pihak mempertahankan setiap keputusan yang dibuat termasuk calon yang diketengahkan dalam pilihan raya umum (PRU).

Fahmi turut memberi contoh sikap segelintir ahli yang sanggup menyebarkan tangkap layar komunikasi berkaitan parti melalui aplikasi WhatsApp.

Malah, kata beliau, ada juga yang sanggup membuat laporan polis atau mengadu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekali gus membuka ruang kepada pihak lawan menyerang.

“Jangan beri musuh kita peluru….saya sangat terkilan apabila ada beberapa rakan kita yang buat laporan polis dan ROS….kenapa serahkan leher dan tengkuk kita kepada musuh.

“Kita tahu mereka (pihak lawan) risau dengan adanya Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Rafizi (Timbalan Presiden, Rafizi Ramli) kerana ia kekuatan paling kuat yang boleh sediakan PKR ke arah menerajui Putrajaya,” katanya memetik laporan BH Online.

Baca artikel berkaitan: Anwar tolak jadi PM kerana tidak mahu bebaskan pemimpin UMNO terlibat kes mahkamah

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR ke-16 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Fahmi turut menggesa Lembaga Disiplin PKR supaya proaktif menghukum kelompok yang sengaja menyerahkan tengkuk parti kepada lawan.

“Mereka yang terbabit sengaja membenarkan parti diserang, mengadu domba di luar dan menabur fitnah terhadap pimpinan parti perlu dikenakan tindakan disiplin.

“Biarlah proses membuat keputusan itu berlaku dalam jemaah….dan apabila dah buat keputusan, kita bertanggungjawab untuk pertahankan. Kalau tak bersetuju sekalipun, biarlah tak setuju (bangkit) dalam mesyuarat.

“Satu lagi mesti hadir mesyuarat dan menyumbang idea serta pandangabn…jangan pula tak hadir, selepas itu bangkang pula di luar,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi juga menggesa semua ahli PKR bersama-sama memberikan kepercayaan kepada saf kepemimpinan baharu supaya dpt mengukuhkan parti.

Menurutnya, ini kerana beliau percaya PRU boleh berlaku pada bila-bila masa selepas memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan tamat 31 Julai ini.

“Ini bermaksud dari saat kita keluar kongres ini, tak akan ada lagi cai itu atau cai ini..yang ada hanya ‘team’ (pasukan) Keadilan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram