Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) serius melaksanakan proses “pemutihan” atau memindah milik tanah sekolah daripada kerajaan negeri kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bagi memudahkan perancangan masa depan infrastruktur sekolah terlibat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata antara faktor utama yang menyebabkan usaha menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terkekang adalah berkaitan dengan status tanah sekolah berkenaan.

“Ada tanah sekolah di mana tapak sekolah kita ini masih belum dimiliki oleh JKPTG. Jadi, urusan pembinaan baharu bagi menggantikan bangunan yang daif tidak dapat dilaksanakan.

Kami melakukannya dengan serius, berbincang dengan pihak kerajaan negeri supaya pemutihan ini dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Beluran hari ini.

Mohd Radzi turut memaklumkan sejak memikul jawatan sebagai Menteri Kanan Pendidikan, jumlah tanah sekolah yang berjaya diputihkan semakin meningkat.

Baca artikel berkaitan: Tiada sesen pun dana KPM anjur mesyuarat PIBG berkelompok – Radzi

Katanya Sabah dan Sarawak merupakan antara negeri yang mempunyai tanah sekolah yang belum ditukar hak milik namun tidak menyatakan jumlah tanah terlibat, dan menambah sekolah di Felda merupakan antara kawasan terbabit.

Sempena lawatan kerjanya selama dua hari ke Beluran sehingga esok, Mohd Radzi turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada Pejabat Pendidikan Beluran bagi menyelesaikan isu mendesak yang memerlukan penyelesaian segera bagi membolehkan golongan pelajar di daerah itu mengikuti pembelajaran dalam keadaan lebih kondusif dan selesa.

Beliau juga meminta semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) supaya sentiasa kerap turun padang melawat sekolah bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan seterusnya mengambil tindakan segera menyelesaikannya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran, pada majlis sama berkata proses pembangunan kemudahan asas, termasuk sekolah di luar bandar merupakan proses berpanjangan.

“Saya yakin jika pelajar luar bandar diberi peluang mendapat pendidikan menyeluruh akan berpotensi tampil lebih menyerlah dalam kehidupan,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram