Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Rafizi Ramli mengadakan sidang media pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PKR akan mengadakan perbincangan dengan DAP dan Amanah mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana DAP dan PKR mempunyai ahli majlis baharu selepas pemilihan kedua-dua parti yang diadakan baru-baru ini.

“Bagi tafsiran MoU, ia tidak semestinya berakhir pada Julai atau semasa pilihan raya. Jadi kita akan melihat kerana kita tidak mahu dilihat tidak memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

“Sebagai contoh, sebaik sahaja kita menamatkannya (MoU), adakah kita memaksa diadakan pilihan raya umum? Kita tidak mahu memaksa kerana terdapat perkara penting yang perlu ditangani,” katanya pada sidang media selepas Kongres Nasional Ke-16 PKR hari ini, mengulas sama ada PH berminat untuk melanjutkan MoU berkenaan.

Anwar berkata, beliau juga akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan untuk berbincang lebih lanjut mengenai MoU itu.

Baca artikel berkaitan: Anwar Presiden, Rafizi Timbalan Presiden PKR secara rasmi

Pada 13 Sept 2021, kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU itu bagi membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi aspek pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Sebelum itu, semasa sesi penggulungan Anwar berkata pendekatan menetapkan calon sepertimana yang diambil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Anwar berkata, mana-mana pemimpin yang tidak mempunyai prestasi rekod kerja yang memuaskan di cabang, tidak akan dipilih sebagai calon dan parti juga akan mendapatkan pandangan wanita serta ahli akar umbi sebelum watikah pelantikan ditandatangani.

“Mengambil pengalaman pada PRN Melaka dan Johor, orang salahkan Anwar. Tapi saya presiden, saya ambil tanggungjawab. Tetapi mereka tidak tahu yang 90 peratus calon itu dicadangkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan cabang, dan pendekatan serupa tidak akan digunakan lagi,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram