PKR telah menerima notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan Ke-16, hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Saifuddin berkata, notis berkenaan diterima susulan tindakan beberapa ahli PKR yang membuat laporan kepada RoS.

“Parti telah terima notis dari RoS untuk Setiausaha Agung menjelaskan sejumlah aduan kepada RoS berkenaan proses pemilihan diadakan baru-baru ini.

“Sejurus mendapat surat itu, perkara pertama terfikir, saya mesti bersedia untuk keadaan paling sukar seumpamanya yang berlaku kepada DAP pada 2013 dan MIC pada 2015.

“Tapi percayalah, dengan sokongan pemimpin lama dan baharu, tugas saya yang terakhir sekarang, untuk minit-minit terakhir ini…

“Saya, Saifuddin Nasution akan mempertahankan parti ini sehabis daya dari sebarang tindakan yang akan datang dari RoS,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa ahli PKR membuat laporan polis dan melaporkan kepada RoS berhubung keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

Baca artikel berkaitan: Jangan serah tengkuk, beri ‘peluru’ untuk lawan menyerang

Tindakan beberapa ahli parti itu turut mendapat respons Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menasihatkan semua ahli serta pemimpin tidak menyerahkan tengkuk atau memberi ‘peluru’ kepada musuh untuk menyerang parti tersebut.

Ini kerana, Fahmi berkata, setiap anggota serta pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan parti.

Pada masa sama, beliau berkata, penting bagi semua pihak mempertahankan setiap keputusan yang dibuat termasuk calon yang diketengahkan dalam pilihan raya umum (PRU).

“Jangan beri musuh kita peluru….saya sangat terkilan apabila ada beberapa rakan kita yang buat laporan polis dan ROS….kenapa serahkan leher dan tengkuk kita kepada musuh.

“Kita tahu mereka (pihak lawan) risau dengan adanya Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Rafizi (Timbalan Presiden, Rafizi Ramli) kerana ia kekuatan paling kuat yang boleh sediakan PKR ke arah menerajui Putrajaya,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram