SEBAHAGIAN daripada rumah yang musnah akibat banjir berpunca daripada fenomena kepala air di Baling. - Gambar Bernama

PROJEK ladang durian di Gunung Inas, Baling di Kedah tidak melakukan kesalahan kerana ia  telah diluluskan kerajaan negeri sebelum 2019.

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Perhutanan Kedah.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah bagaimanapun menjelaskan, siasatan sedang dilakukan bagi memastikan sama ada syarikat terbabit mematuhi jenis tanaman mengikut kelulusan diberikan di bawah laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) atau bertindak menukar tanaman berkenaan.

“Namun, projek terbabit mempunyai laporan EIA dan diluluskan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan. Tapi saya akan semak dulu, data itu tidak ada di tangan saya sekarang, saya akan periksa dahulu.

“Ia tiada salah laku kerana semua (kelulusan projek) adalah keputusan kerajaan negeri, kena ada kelulusan kerajaan negeri, kalau kerajaan negeri benarkan, tak adalah salah laku,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Muhamad menjawab pertanyaan banyak pihak mengenai status projek berkenaan susulan kejadian banjir dan kepala air yang melanda Baling baru-baru ini.

Sebelum ini penduduk mendakwa, projek ladang durian yang dilaksana di puncak Gunung Inas menjadi punca berlakunya bencana kepala air dan banjir lumpur pada 4 Jun lalu, sehingga menjejaskan kehidupan lebih 800 penduduk dan mengorbankan tiga nyawa.

Dalam perkembangan sama, Muhammad berkata, buat masa ini syarikat terbabit diarah menghentikan sebarang kerja penanaman melalui dua surat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) yang dikeluarkan pada Disember 2020 dan Mac 2021.

Katanya, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan bahawa Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, mengarahkan semua kerja berkaitan projek itu dihentikan sepenuhnya pada Julai 2020.

Menurutnya, JPNK juga dalam proses berbincang bersama kerajaan negeri bagi menentukan jenis tanaman yang perlu ditanam di kawasan puncak Gunung Inas yang didapati masih terbuka.

Sementara itu, beliau memaklumkan, laporan lengkap berkaitan kejadian bencana dan siasatan penuh yang dilakukan Jabatan Perhutanan Kedah berkaitan keadaan Gunung Inas akan diserahkan kepada Menteri Besar pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah esok (Isnin).