Ayda Jebat GAMBAR: Abd Razak Aid

KALI terakhir pelakon Ayda Jebat sibuk di lokasi penggambaran ialah pada 2019 menerusi drama Bukan Gadis Biasa.

Sehingga kini, dia masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran lakonan memandangkan anak sulungnya, Ana Nayla baharu berusia 10 bulan.

Namun, jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat,30, itu cukup merindui untuk bekerja.

“Buat masa ini saya berehat sekejap daripada dunia lakonan. Cuma tak dapat nak pastikan untuk berapa…mungkin sehingga Ana dah pandai berjalan dan boleh dijaga oleh orang lain.

“Masa itu mungkin saya rasa selesa sedikit untuk keluar bekerja dan tinggalkan dia dibawah jagaan orang.

“Lebih daripada 20 tawaran lakonan yang terpaksa saya tolak sebab fokus saya sekarang ialah bergelar ibu kepada Ana. Kali terakhir saya berlakon dengan Remy Ishak, itu pun sebelum pandemik Covid-19,” katanya kepada URTV.

Ayda Jebat GAMBAR: Abd Razak Aid

Ayda berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran wajah baharu minuman Spritzer dan memperkenalkan dirinya sebagai duta produk minuman itu di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya.

Dalam pada segelintir pelakon yang terpaksa membawa anak ke lokasi penggambaran, Ayda bagaimanapun enggan berbuat demikian.

Tegas Ayda, dia dan suaminya, Nabil Mahir cukup menitik beratkan soal kesihatan anak termasuklah kedua-dua keluarga mereka.

Ayda Jebat dan suaminya, Nabil Mahir. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kami tidak bercadang dan tak akan bawa anak pergi keluar bekerja. Kami memang sangat jaga dan pentingkan kesihatan Ana.

“Rasanya kami pernah bawa Ana ke pusat beli-belah sekali atau dua kali sahaja. Itu pun tempat yang tak ramai orang.

“Ada juga beberapa orang rakan yang pernah jumpa dengan Ana walaupun umur dia dah hampir 10 bulan. RRamai yang nak jumpa dengan Ana sebab mereka kata asyik tengok di Instagram saja.

“Cuma kami masih belum bersedia untuk bawa dia jumpa dengan orang ramai. Tapi kalau nak jumpa, saya ada mengingatkan mereka untuk buat ujian calitan Covid-19 sebelum bertemu dengan kami,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ayda kini sedang dalam menyiapkan single terbaharu berjudul Tak Bisa Lepas yang kini sedang meenjalani penggambaran muzik video (MV) di Langkawi.

Single tersebut merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ayda yang mengisahkan tentang kisah awal pertemuan dan percintaanya dengan Nabil.