Ismail Sabri Yaakob memberi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung 2021 pada Sidang khas Parlimen hari ini.

PERUNTUKAN sebanyak RM77 bilion antara satu daripada usaha kerajaan untuk membantu menstabilkan harga barangan supaya kekal pada paras mampu beli buat rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu menyaksikan penambahan RM46 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion pada 2022.

Jelas Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur, yang mana pertama kali diberikan untuk memastikan bekalan ayam pulih.

“Melalui cerapan data harga mingguan kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia.

“Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat hari ini.

Baca artikel berkaitan: Komunikasi penting tangani inflasi, harga barang – Annuar Musa

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak polibeg 1 kilogram (kg) dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini.

Jelas beliau, jumlah itu naik secara mendadak berbanding keperluan pada 2020 iaitu RM500 juta dan 2021 sebanyak RM2.1bilion.

Tambahnya, kerajaan juga telah melanjutkan pelaksanaan sehingga Jun 2022 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM382 juta bagi melaksanakan program subsidi minyak botol.

Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan juga telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Menurut beliau, kerajaan sedang memperinci pelaksanaan PJKM untuk diperhebat dan diperluaskan kepada lebih 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, jualan PJKM melibatkan penurunan sehingga 15 peratus namun ada kalanya
penurunan tersebut lebih daripada itu.

“Kerajaan juga telah menambah nilai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada lebih kurang 9 juta penerima sebanyak RM100 bagi isi rumah serta RM50 bagi individu bujang.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai lagi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat Keluarga Malaysia.

“Meskipun kita tidak dapat menghalang kenaikan harga barangan sepenuhnya kerana ia
adalah disebabkan faktor inflasi global, namun, impaknya dapat dikurangkan dengan pelaksanaan strategi-strategi yang telah dirangka oleh kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, antara inisiatif lain yang dilakukan kerajaan adalah penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi; stokpail ayam; mempermudah proses tuntutan subsidi harga ayam; memudah cara prosuder import (IP); menetapkan harga siling ayam dan Ops Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram