FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencapai kejayaan cemerlang. Angka kutipan dilapor melepasi RM80 juta dan dijangka terus meningkat. Secara tidak langsung kecemerlangan ini menyerlahkan lagi kredibiliti Syamsul Yusof sebagai pengarah.

Sebelum ini beberapa buah filem arahannya juga mencapai kejayaan pecah panggung, antaranya Khurafat: Perjanjian Syaitan, Evolusi KL Drift, KL Gangster dan Munafik.

Bukan mudah membuat filem sejarah berkisar kisah benar. Setiap fakta sejarah harus dipapar seperti mana ia sebenarnya berlaku. Namun kekangannya ialah sejarah adalah catatan daripada generasi kepada generasi. Masyarakat sekarang tidak berada pada era itu.

Begitu juga kisah Mat Kilau (1866—1970). Maklumat mengenainya adalah berdasar rentetan sejarah dan penyelidikan. Sukar diketahui dengan tepat bagaimana Mat Kilau, Datuk Bahaman atau Tok Gajah berjuang melawan Inggeris pada kurun ke-18, bagaimana strategi serta pergerakan mereka menghadapi musuh dan menyerang balas.

Tiada siapa pasti bagaimana kehidupan seharian Mat Kilau sehingga menjadi buruan dan hidup dalam persembunyian. Tiada diketahui bentuk rumah asalnya atau cara dia bermain keris dan sebagainya.

Walau pun Mat Kilau muncul mengisytiharkan diri pada 1970, kerana faktor usia dan ingatan, tidak banyak dapat beliau ceritakan mengenai susur galur kehidupan yang dilalui sepanjang berjuang melawan Inggeris dan bagaimana melalui kehidupan seharian selama tempoh menyembunyikan diri.

Justeru pembikinan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan banyak bergantung kepada catatan sejarah sebagai panduan. Jika ada sedikit khilaf, sepatutnya tidak dianggap isu besar. Yang penting jalan cerita keseluruhan tidak mengetepikan aspek sejarah sebagai teras utama.

Penulis memetik rungutan daripada kaum Sikh khususnya yang tersinggung kerana kaum itu digambarkan sebagai kelompok jahat yang bersekongkol dengan Inggeris menentang orang Melayu dalam filem berkenaan. Seharusnya ini tidak jadi isu.

Perkara ini tidak relevan mengambil kira situasi pada masa itu. Jika tidak dibangkitkan pun ia tidak menjadi apa-apa masalah kerana paparan dalam filem itu bukan gambaran hari ini.

BERITA BERKAITAN Mat Kilau: Kisah benar perjuangan pribumi bukan rasis

Kaum Sikh, seperti bangsa lain, adalah rakyat yang setia kepada negara. Namun apa yang dipapar dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah dalam era dan persekitaran lain, era penentangan terhadap British dahulu.

Pada era tersebut memang ada rakyat tempatan membantu Inggeris atau menjadi tali barut mereka. Bukan sahaja kaum Sikh tetapi orang Melayu pun ada disifatkan sedemikian. Misalnya Mat Arshad di Pasir Salak, Perak, yang bekerja untuk Residen British pertama di Perak, JWW Birch.

Bagi pejuang Melayu seperti Datuk Maharaja Lela, Mat Arshad ialah pengkhianat bangsa kerana bersekongkol dengan orang putih. Akhirnya dia dibunuh ketika menampal notis memaklumkan orang Inggeris akan melaksanakan kutipan cukai di Pasir Salak.

Penulis percaya segala usaha dibuat bagi memastikan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berdiri di atas realiti sejarah. Apa yang dihasilkan adalah yang terbaik daripada hasil kajian dan rujukan.

Yang lebih penting bagi penulis ialah kini wujud kecenderungan di kalangan syarikat perfileman menghasilkan filem sejarah. Ini satu perkembangan positif ke arah memperbanyak filem bercorak seperti itu sebagai menambah khazanah filem epik tanah air.

Sebelum ini peristiwa Bukit Kepong (1981) digarap oleh pengarah Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin. Kisah keperwiraan anggota polis mempertahan Balai Polis Bukit Kepong, Johor, daripada serangan pengganas komunis hingga ke titisan darah terakhir, begitu menyentuh hati.

Selain itu filem Leftenan Adnan dihasilkan di bawah arahan Aziz M. Osman. Filem ini memaparkan kisah Leftenan Adnan, seorang pegawai Askar Melayu Diraja dan anggotanya yang tidak gentar berhadapan tentera Jepun walau pun jumlah mereka lebih kecil.

Kegigihan serta keberanian Leftenan Adnan menentang kemaraan tentera Jepun di Bukut Chandu, Singapura, menyerlahkan semangat patriotik dan cinta kepada negara. Sesungguhnya kasih kepada negara tersangat mulia dan tinggi nilainya.

Leftenan Adnan dan anggotanya berjuang hingga ke hujung nyawa, menyerahkan jiwa raga demi tanah air tercinta. Tentera Jepun begitu marah dengan keberaniannya. Setelah dia gugur, tentera Jepun bertindak menggantung mayatnya pada pokok dan ditikam bertubi-tubi melepaskan geram.

Banyak lagi sejarah tanah air, tokoh pahlawan serta pejuang yang boleh diangkat ke layar perak. Contohnya Datuk Maharaja Lela (Perak), Do Said (Naning), Tok Janggut (Kelantan), Mat Salleh (Sabah), Rosli Dhobi (Sarawak), Abdul Rahman Limbong (Terengganu) dan lain-lain.

Justeru selepas kejayaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, ia sewajarnya menjadi pendorong kepada syarikat perfileman filem menghasilkan lebih banyak filem sejarah. Jadikan kejayaan filem itu pembakar semangat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram