Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.

TINDAKAN segelintir peniaga yang menggunakan minyak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) adalah salah termasuk peniaga yang menjalankan perniagaan pisang goreng.

Begitupun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah zalim jika penguatkuasa mengenakan tindakan seperti merampas minyak peket daripada makcik-makcik yang menjual pisang goreng.

“Yang susah nak kawal, minyak masak peket untuk kegunaan rumah tetapi pengusaha-pengusaha…restoran besar menggunakannya dan satu lagi agak sukar nak kawal, tak sampai hati nak ambil tindakan terhadap makcik-makcik yang jual pisang goreng.

“Mereka tak boleh gunakan minyak masak untuk kegunaan jual pisang goreng  itu salah, sebab minyak masak peket tidak boleh untuk komersial.

“Tetapi adakah penguat kuasa nak saman makcik atau rampas minyak masak mereka? Nanti dituduh kita zalim pula kepada rakyat yang miskin ini yang nak menjual…kais pagi makan pagi.

“Jadi, bukan sesuatu yang mudah, ada perkara yang perlu dipertimbangkan, tetapi percayalah kerajaan tidak berdiam diri dan Perdana Menteri tidak boleh dikatakan tidak melakukan apa-apa tindakan.

“Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk kepentingan negara,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Baca artikel berkaitan:Harga minyak masak tidak bersubsidi dijangka turun – Annuar Musa

Menurut Perdana Menteri, minyak masak peket bersubsidi sering diseleweng kerana harganya RM2.50 terlampau rendah.

Jelas beliau, hal itu memberi kesempatan kepada penyeludup untuk menjual keluar minyak peket tersebut dengan harga yang lebih tinggi diluar.

“Bayangkan harga sebenar RM9, kalau penyeludup bawa keluar jual harga RM5, dia dah untung RM2.50 satu peket, jadi perniagaannya sangat menguntungkan kepada penyeludup,” katanya.