HANYA dalam masa satu jam, tiket konsert 30 Years of Dewa 19 yang dijadualkan berlangsung pada 10 September di Axiata Arena, Bukit Jalil, habis terjual.

Ramai peminat yang melahirkan kekesalan kerana tidak sempat untuk mendapatkan tiket konsert yang bakal menghimpunkan empat vokalis.

Justeru, kumpulan terkenal Indonesia itu menambah satu hari lagi konsert iaitu pada 9 September di lokasi yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Dhani kumpulkan 4 vokalis Dewa 19 dalam satu pentas, September ini!

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh vokalis dan gitaris utamanya, Ahmad Dhani menerusi Instagram rasmi Dewa 19 iaitu @officialdewa19.

“Gokil Malaysia! Dalam masa sejam tiket habis dijual. Kami sangat berbesar hati dengan sokongan Baladewa dan Baladewi di Malaysia khususnya Kuala Lumpur.

“Jadi untuk membalas sokongan dan rindu kalian, Dewa 19 akan menambah satu malam lagi untuk Baladewa semua. Konsert akan ditambah pada Jumaat, 9 September 2022 di lokasi sama. Dapatkan tiket kalian pada hari ini mulai jam 3 petang di laman yang sama.

“Kali ini, tolong jangan terlewat lagi membelinya kerana Malaysia adalah satu-satunya lokasi di mana kami muncul dengan dua konsert khas buat kalian,” katanya.

Peminat boleh membeli tiket di www.ticket2u.com.my/dewa19 atau hubungi talian hotline 019-9919055 bermula jam 3 petang hari ini.

Kali terakhir Dewa 19 membuat persembahan di negara ini ialah pada 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam tanpa kehadiran Ahmad Dhani.