Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yasin, Mat Kilau dan Tun Abdul Razak.

Sepanjang Julai 2022 ini saya berkesempatan menyelami lebih mendalam tiga wira Melayu yang cukup hebat, bermaruah dan diberkati Allah SWT. Mereka yang saya maksudkan ialah pahlawan Mat Kilau, negarawan Tun Razak dan cendekiawan Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yasin. Secara kebetulan, semuanya dari Pahang, hebat dalam zamannya, dengan peranan masing-masing.

Pengarah filem muda hebat, Syamsul Yusof, berjaya mengangkat kepahlawanan Mat Kilau. Filem arahannya itu berjaya menambat hati semua peringkat umur masyarakat. Tiga mesej utama yang jadi appeal factors filem itu, memberi kesan cukup mendalam; penyatuan bangsa, kepercayaan kepada kekuasaan Yang Maha Esa dan kemampuan swatadbirurus diri dan masyarakat.

Belum pernah dalam sejarah hidup selama 70 tahun ini saya ke pawagam, menonton filem yang sama sebanyak dua kali. Filem Pahlawan Mat Kilau telah mengubah sejarah saya itu. Mengertilah saya mengapa filem itu menjadi perbualan hangat.

Sudah pasti, dalam kebebasan media sosial semasa, sesuatu yang hangat atau visible itu akan turut mengundang komen yang sinis. Pedulikanlah komen-komen liar itu. Yang penting, mesej yangdisampaikan amat bermakna. Hendaknya, dalam kalangan mereka yang mabuk, ketagih atau gila kuasa juga menonton filem ini dan menginsafi setiap dialognya.

Pada Jumaat 15 Julai 2022, saya diberi penghormatan oleh Arkib Negara untuk berperanan sebagai moderator kepada Siri Bicara Tokoh sempena Sambutan 100 Tahun Kelahiran Tun Razak Hussein, negarawan dan mantan Perdana Menteri Malaysia kedua. Tokoh yang ditampilkan oleh Arkib ialah Tan Sri Kamarul.

Banyak penceritaan perihal Tun Razak yang boleh kita semua perolehi dari buku, filem dan dokumentari yang telah menjadi koleksi dan khazanah negara. Namun, ia tidak sama dengan penceritaan dari seorang sahabat karibnya yang bukan saja mengenalinya amat akrab, malah ayah mereka juga akrab dan berjuang serta struggle bersama.

Kehebatan kepimpinan Tun Razak bukan saja dalam politik. Spektrum kepimpinan beliau meliputi kesemua domain kemakmuran, sehinggalah kepada aspek-aspek berkaitan hubungan luar negara.

Di antara mesej yang turut disampaikan oleh Tan Sri Kamarul, ialah keperibadian Tun Razak sebagai pemimpin yang sifatnya “suka mendengar dan berkongsi ilham”.

Pada hemat Tan Sri Kamarul, Tun Razak bukan sekadar hebat sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai penolong kepada pemimpin. Menurut beliau, Tun Razak merupakan seorang yang amat taat dan bekerja keras untuk ketuanya. Gema yang sama disuarakan oleh Tan Sri Yussof Latif, Presiden PEMENANG, yang hadir sama di sesi Bicara Tokoh itu, yang pernah menukilkan sebuah puisi, menceritakan keperibadian Tun Razak.

Ada kalanya juga, bila terserempak atau berkesempatan bersama Tunku Abdul Rahman, Tan Sri Kamarul cuba menyarankan sesuatu kepada Tunku. Lazimnya, dengan sepantas kilat Tunku akan berkata “hang pi jumpa Razak”. Kata-kata itu adalah simbolik betapa percayanya Tunku kepada timbalannya itu.

Tun Razak berdepan banyak cabaran dalam membangunkan negara. Selain cabaran luaran dan ancaman komunis, jurang kemakmuran antara etnik, terutama masyarakat pribumi yang mundur dan miskin, amat menyentuh hati dan perasaan beliau.

Selama lebih dua puluh tahun Tun Razak berada dalam Kabinet, bermula menjawat Menteri Pelajaran sebagai menteri paling muda bila pertama kalinya Kerajaan Persekutuan terbentuk. Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang hayatnya amat tak ternilai.

Cukuplah serba ringkas kisah dua wira Hebat Melayu Pahang ini, Mat Kilau dan Tun Razak. Namun, jarang sekali ditampilkan “watak di belakang tabir” dalam kalangan cendekiawan, sebagai wira yang layak didendangkan.

Dalam beberapa perenggan berikut ini saya nak kongsi cerita ringkas satu “watak belakang tabir” yang selayaknya didendangkan sebagai Wira Melayu Hebat. Inilah persepsi saya setelah beberapa kali bertemu dan berurusan dengan Tan Sri Kamarul, sebagai persiapan untuk penampilan dalam siri Bicara Tokoh 15 Julai itu.

Sebagai kenalan rapat kepada negarawan Tun Razak, Tan Sri Kamarul sering dipanggil untuk memberikan buah fikiran kepada beberapa isu besar. Diantaranya yang wajar dinyatakan di sini termasuk penubuhan Petronas, pembelian ekuti dalam syarikat perladangan milik asing, penggubalan Rukun Negara, DEB, rundingan damai Malaysia-Indonesia semasa konfrontasi, penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 1 1965, penubuhan BBMB dan banyak lagi. Bagaimana semua itu terjadi ada tertulis di mana-mana, akan tetapi selok-belok yang membawa kepada bagaimana sesuatu itu terjadi banyak yang tidak tertulis.

Selain penceritaan beliau mengenai Tun Razak, saya bersama beberapa pegawai dari Arkib Negara turut mendengar cerita liku-liku kehidupan Tan Sri Kamarul sejak awal. Dengan berbekal sedikit wang dari keluarganya, tanpa biasiswa, beliau melanjutkan pengajian undang-undang di London.

Bila ayahnya meninggal dunia dalam tahun 1956, Tan Sri Kamarul terpaksa menangguhkan pengajian bagi bekerja menyara diri dan mengumpul wang untuk menyambung pengajiannya. Bukan itu saja, setelah tamat penganjian, beliau ketiadaan wang untuk tambang pulang ke tanah air.

Oleh kerana kecekalannya amat tinggi terhadap budaya swatadbirurus diri (berdikari) yang beliau bina sejak awal, Tan Sri Kamarul tidak menagih simpati meminta bantuan dari mana-mana pihak, sekalipun kenalannya semasa sama-sama belajar di UK ketika itu.

Beliau memilih untuk hitch-hike. Masa lebih 100 hari beliau lalui, meredah dari satu negara ke satu negara sepanjang peta perjalanan dari London ke Malaysia. Akhirnya pada tahun 1961 beliau berjaya menjejakkan kaki ke tanah air tercinta.

Sekembalinya ke tanah air beliau ditawarkan bekerja di institusi kehakiman, oleh Ketua Hakim Negara ketika itu, tetapi beliau menolak dan memilih untuk bekerja dengan sebuah firma guaman antarabangsa yang diperkenalkan kepadanya oleh Tun Hussein Onn.

Menurut kefahaman saya, Tan Sri Kamarul mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak menyertai pekhidmatan kerajaan. Pertama, untuk lebih mudah beliau berdikari dalam membina kejaya. Kedua, untuk lebih mudah beliau berperanan di belakang tabir, sebagai panel pemikir kepada kepimpinan negara serta perjuangan UMNO. Dan yang sama pentingnya, pada pemerhatian saya, ialah kepada cita-cita besar beliau untuk menjadi Melayu global berprofail tinggi. Inilah yang beliau telah capai dalam usia yang muda.

Beliau amat bangga dengan kecekalan pendiriannya untuk sentiasa kekal berdikari, tidak mengharapkan itu dan ini dari kerajaan, malah dari sesiapa jua yang rapat dengannya. Inilah juga peringatan yang disampaikan kepada anak cucunya agar mereka juga kekal cekal berdikari.

Jika ada di antara kita berkesempatan pergilah kunjungi beliau dan koreklah banyak khazanah yang tersimpan dalam jiwa insan mulia ini, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yasin. Insan yang amat tinggi keperibadiannya dan tebal budaya berdikarinya. Insan ini amat multi-talented. Insan ini wajar dinobatkan sebagai dalam kalangan Wira Melayu Hebat.

Penulis merupakan
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)