OREGON merupakan sebuah negeri di wilayah barat laut Amerika Syarikat yang terkenal dengan kecantikan alam semulajadi. Di sebalik kesuburan tanahnya, terkandung pelbagai rahsia alam di sini.

Ia pernah digelar ‘Shangri-La di ufuk barat’ oleh sekumpulan biarawati Kristian yang datang mencari tapak untuk membina rumah ibadat pada zaman dahulu.

Daerah ini merupakan lembangan yang dipenuhi gunung berapi. Aktiviti volkano di masa lalu telah membuatkan kawasan ini dipenuhi keajaiban. Salah satunya ialah tenaga Vortex. Ia merupakan pusaran tenaga yang membentuk arus magnet dan menjadikan daerah ini berbeza dan luar biasa.

Di antara semua Vortex yang terbentuk di situ, ada Vortex yang berjaya mengubah graviti hingga menyebabkan semua objek yang melintasinya akan menjadi condong. Masyarakat tempatan menggelar keanehan itu sebagai ‘Misteri Vortex Oregon’.

Gunung Shasta.

Berdekatan dengan rangkaian gunung ganang yang membentuk gunung Shasta, di bawah kaki gunung inilah terletaknya wilayah Oregon. Di sini terdapat sebuah pekan kecil yang diberi nama Gold Hill. Lokasinya kira­-kira 200 kilometer di selatan Portland, Oregon.

Penduduk di pekan Gold Hill hanya sekitar dua ribu orang saja. Jalan rayanya kecil, hanya sepanjang 12 kilometer. Lebih kurang 10 minit memandu di jalan pekan Gold Hill ini, pengunjung akan menemui satu kawasan yang mempunyai kuasa Vortex paling kuat di Oregon.

Di sini terdapat sebuah rumah kayu yang dipercayai dibina oleh peneroka terdahulu. Di setiap sudut kawasan ini mempunyai tenaga  Vortex. Sesetengah orang yang sensitif pada arus magnetik boleh merasai sesuatu yang unik berlaku pada tubuh badannya apabila berada di sini.

Rumah kayu di sini merupakan kawasan paling kuat dengan tenaga Vortex dan menjadi tumpuan pengunjung.

Terdapat arus magnetik membentuk pusaran sejauh 300 meter di sekeliling kawasan ini. Sekiranya berada lama dalam pusaran tenaga Vortex ini, kita akan berasa sedikit pening. Ia berlaku disebabkan oleh tekanan sistem perimbangan badan terganggu.

Di rumah kayu unik ini, pengunjung dapat melihat kedudukannya yang senget dan tidak betul simetrinya. Ini berlaku disebabkan oleh penjajaran tenaga Electro-Magnetic Fields (EMF) yang membentuk kutub magnet lalu menyebabkan kecondongan 19 darjah membelakangi tujahan graviti bumi.

Malah, keadaan sekeliling rumah ini termasuk pokok-pokok juga serupa. Tumbuhan yang hidup di sini juga condong 19 darjah. Keadaan ini seakan-akan cuba menentang hukum graviti bumi.

Apabila memasuki rumah kayu ini, kedudukan kita juga akan menjadi condong. Inilah keunikan dan keajaiban semula jadi kawasan ini.

Keadaan rumah yang senget kerana tenaga Vortex.
Keadaan di dalam rumah yang senget.

Bagi masyarakat di sini, sejak zaman dahulu tenaga Vortex ini dikaitkan dengan semangat halus dan roh. Mengikut kepercayaan masyarakat asli di sini, kawasan ini merupakan tempat pertemuan roh dan semangat. Kepercayaan tersebut dipertahankan selama seribu tahun.

Kemudian pada tahun 1850, kedatangan mubaligh Kristian ke kawasan ini telah membawa kepercayaan baru ke situ. Mengikut para mubaligh yang berpindah ke sini, tenaga Vortex di kawasan itu merupakan kedamaian dan kebahagiaan beribadat. Ia sesuai untuk menenangkan jiwa dan menumpukan perhatian pada proses  meditasi.

Pengunjung juga akan condong bila berada di sini.

Bagi masyarakat asli Amerika, kawasan ini digelar ‘kawasan kuda gila’. Menurut kisahnya, setiap kuda yang melintasi kawasan ini pasti akan menjadi degil, resah dan tidak tentu arah. Malah, ada yang lari lintang pukang.

Ini kerana kuda itu tidak mahu melintasi kawasan lingkaran magnet ini. Jika dilintasi, haiwan ini akan mengalami masalah untuk menentukan arah kerana kuda dikenali sebagai haiwan yang cukup sensitif dengan kompas bumi.

Kuda liar boleh mengesan sesuatu kedudukan hanya dengan menggunakan magnet bumi tetapi apabila ia berada dalam lingkaran tenaga yang kuat, arus elektrik statik menyebabkannya hilang pedoman. Keadaan inilah yang menyebabkan kuda takut untuk melalui kawasan berlingkaran magnet.

Jika kita berdiri atas tanah yang mempunyai lingkaran tenaga Vortex ini, seseorang itu dapat merasakan secara fizikalnya menjadi tinggi walaupun hakikatnya orang itu rendah. Inilah antara demonstrasi yang selalu dipersembahkan pemandu pelancong untuk menarik minat pengunjung merasai sendiri keajaiban tenaga Vortex di wilayah Oregon ini.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram