PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky mengakui terdapat salah faham dalam isu alasan penat diberikan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas tewas pada Terbuka Singapura 2022, baru-baru ini.

Rexy menjelaskan jurulatih beregu Tan Bin Shen telah menyampaikan maklumat salah kepadanya berhubung faktor yang menyebabkan Sze Fei-Nur Izzuddin, selaku pilihan keenam kejohanan, tewas dalam pusingan kedua Terbuka Singapura 2022 itu.

Gandingan ke-12 terbaik dunia itu tumpas kepada pasangan bukan pilihan dari India M.R. Arjun-Dhruv Kapila, 18-21, 24-22, 21-18 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

“Mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) tak cakap penat. Hanya salah faham daripada Bin Shen sewaktu beliau sampaikan kepada saya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebaliknya, pakar beregu dari Indonesia itu memaklumkan aksi kurang konsisten dipamerkan Sze Fe-Nur Izzuddin pada set ketiga perlawanan itu membawa padah kepada mereka dalam kejohanan tersebut.

BERITA BERKAITAN Cabaran Malaysia berakhir, Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas

Jumaat lepas, Rexy menyifatkan alasan penat diberikan juara Terbuka Jerman 2022 itu sebagai tidak munasabah kerana percaya mereka mendapat rehat secukupnya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 14-21, 20-22, pada 5 Julai lepas.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram Ahad lepas, Nur Izzuddin menyatakan mereka tidak pernah memberi alasan selepas tewas kerana menyedari kekalahan perlu diterima dalam mana-mana kejohanan disertai.

— BERNAMA