SELEBRITI dan usahawan popular, Neelofa melahirkan rasa teruja dan terharu apabila masih ada jenama fesyen dunia yang mahu bekerjasama dengannya meskipun dia kini sudah berniqab.

Memetik laporan Media Hiburan, isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Riz itu berkata, dia percaya dengan hubungan kerjasama dan sambutan dalam kalangan pengguna akan membawa kepada kolaborasi yang berterusan.

“Terkejut juga apabila ada jenama yang masih sudi untuk bekerjasama. Namun, saya sendiri faham sekiranya mereka risau atau takut sesuatu produk itu tidak mendapat sambutan atau kurang raih ‘engagament’.

“Cuma mungkin bagi mereka yang pernah bekerjasama dengan saya lebih tahu. Misalnya kalau saya kongsikan di media sosial perihal barangan yang diberi, mungkin ada kesan positif bagi mereka dan kerjasama itu berterusan,” katanya.

Sementara itu, Neelofa juga bersyukur apabila stesen televisyen dan produksi kini sudah bersikap terbuka dengan penampilanya.

“Saya rasa syukur dan bangga pada masa yang sama sebab di sisi lain, ia juga satu ruang dakwah. Maksudnya mungkin yang lihat akan lebih tahu mengenai penampilan seseorang wanita muslimah.

“Malah saya lebih rasa tersentuh apabila stesen televisyen masih mahu menerima saya seadanya. Misalnya program Nona bulan lalu selain projek terbaru saya dengan Astro.

“Pihak mereka sangat berlapang dada untuk menerima kita yang berniqab atau berpurdah ini untuk tampil sebagai pengacara dan sebagainya. Bagi saya ia satu situasi yang baik,” jelasnya.