Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 30 projek pembangunan melibatkan kos kira-kira RM100 juta akan ditangguhkan pembangunannya daripada 7,243 projek yang diluluskan tahun ini dalam usaha penjimatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, kesemua 30 projek itu telah dikenal pasti menerusi sesi libat urus antara Kementerian Kewangan; Kementerian Kerja Raya; Unit Perancang Ekonomi (EPU); Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bagaimanapun, Mustapa berkata, sesi libat urus akan diteruskan untuk mengadakan pertemuan dengan semua kementerian bagi memastikan mana-mana projek diteruskan atau ditangguhkan demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, Mustapa memberi jaminan projek-projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3); Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan mengikut jadual.

“Kita telah mulakan sesi libat urus pada 19 Julai lalu dan setakat ini telah mengenal pasti 30 projek melibatkan kos RM100 juta.

“Ia melibatkan projek yang belum diiklankan dan belum ada apa-apa persiapan dengan libat urus akan diteruskan minggu hadapan.

Baca artikel berkaitan: Dasar tangguh, batal projek baharu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan semua kementerian untuk memastikan bahawa mana-mana projek yang perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat diteruskan. This is work in progress (Ini adalah kerja berterusan),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin kerajaan menyatakan jumlah projek yang sudah diputuskan untuk ditangguhkan daripada 7,243 projek bernilai RM75.6 bilion yang diluluskan untuk pelaksanaan tahun ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kriteria projek-projek yang akan ditangguhkan adalah projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan serta belum diiklankan.

Selain itu, kata beliau, projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, Mustapa memberitahu, projek-projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak juga akan ditangguhkan.

“Projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan; telah dikeluarkan iklan tender; surat niat dan surat setuju terima akan diteruskan.

“Selain itu, projek yang dibiayai daripada Dana Infra serta semua projek penyelenggaraan yang msutahak dan telah diluluskan juga akan dilaksanakan.

“Ini penting bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram