KEDATANGAN penyerang legenda Singapura, Fandi Ahmad ke pasukan Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai kepuasan terbesar buat skuad Tok Gajah, jika menjadi kenyataan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.

Beliau berkata, Fandi yang disebut-sebut sebagai calon ketua jurulatih baharu Sri Pahang, adalah nama yang cukup tersohor dan tidak asing dalam kalangan penyokong kerana pernah menyarung jersi Pahang pada era 90-an termasuk membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia 1992.

Mohammed Suffian turut tidak menolak kemungkinan gandingan Fandi bersama bekas rakan sepasukannya di Pahang dan legenda bola sepak negara, Dollah Salleh yang kini pengurus pasukan Sri Pahang, dapat mencetuskan sesuatu yang positif.

“Pastinya senario dan budaya Pahang, Fandi sudah masak dan faham. Apatah lagi kalau bersama dengan Dollah Salleh, yang dikatakan kedua-dua mereka sahabat lama,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Beliau mengakui Sri Pahang dan Fandi ada berhubung, namun tiada sebarang persetujuan dicapai sehingga hari ini dengan pemilik kelab akan memutuskan tarikh sesi perbincangan rasmi.

Baca artikel berkaitan: Liga Super: Selangor FC, KL City sama liat

“Buat masa ini Fandi hanya ura-ura dan sekiranya ada keputusan konkrit kita akan maklumkan. Buat masa ini kita kekal dengan (kejurulatihan) yang ada sehingga keputusan yang disebutkan ura-ura itu akan menjadi realiti,” katanya.

Khabar angin Fandi bakal menggantikan Christophe Gamel selaku ketua jurulatih Sri Pahang bertiup kencang selepas kontrak Gamel bersama juara Piala FA 2018 itu dilaporkan ditamatkan secara persetujuan bersama minggu lalu.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu yang meledak keseluruhan 55 gol bersama Singapura turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia Elit Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) hujung bulan lepas, sekali gus menghangatkan spekulasi beliau bakal menyertai Sri Pahang.

Fandi pernah membimbing beberapa pasukan antaranya Johor Darul Ta’zim, skuad kebangsaan Singapura, pasukan pembangunan Singapura Young Lions dan skuad Bawah 23 Tahun Singapura ke Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas.

Dalam pada itu, Mohammed Suffian berkata terdapat beberapa jurulatih lain yang menyatakan minat untuk membimbing Sri Pahang.

Bagaimanapun, katanya ketika ini perlawanan suku akhir Piala FA berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu ini menjadi keutamaan pasukan yang akan dibimbing Dollah sebagai pengendali sementara.

Sri Pahang mengharungi musim Liga Super yang sukar susulan prestasi terumbang-ambing menyebabkan pasukan itu berada di kedudukan kedua tercorot dengan hanya lapan mata daripada 11 perlawanan setakat ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram