ANDA pernah dengar perkataan ‘AURA’? Sering kita mendengar seseorang itu mempunyai aura yang kuat, ataupun membawa aura positif dan negatif. Ada juga terapi aura di mana warna-warna pada seseorang itu boleh dilihat dan diperbaiki sekiranya dia mempunyai aura negatif. Tahukah anda dari mana wujudnya aura ini?

Tubuh manusia terbina daripada lebih 53 trilion sel-sel hidup yang sentiasa bergetar. Daripada getaran itulah haba terhasil untuk memanaskan tubuh badan manusia, seterusnya membentuk medan tenaga manusia.

Kewujudan Human Energy Field  atau medan tenaga manusia ini telah ditemui oleh Dr. William Kilner pada tahun 1911 lagi. Kilner menamakannya sebagai AURA, dan istilah tersebut digunakan secara meluas sehingga kini.

Setiap tubuh manusia mempunyai aura tersendiri.

Dalam kajiannya, Dr. William mendapati medan tenaga manusia ini terdiri daripada beberapa lapisan tenaga utama. Lapisan paling luar berada dalam lingkungan permukaan kulit hingga ke dalam tubuh manusia. Lapisan kedua meliputi satu inci dari permukaan kulit dan lapisan ketiga meliputi enam inci dari lapisan kulit manusia. Kilner juga mendapati kadar lapisan tenaga ini berbeza mengikut umur, jantina, kesihatan, mental dan emosi seseorang.

Seorang saintis dan juga ahli psikiatri dari Amerika, Dr.Wilhelm Reich pula menamakannya ‘orgone’. Beliau menemui bukti bahawa aliran tenaga dalam tubuh manusia mempunyai hubungan rapat dengan keadaan fizikal dan psikologi manusia.

Dr Wilhelm turut mengakui teknik rawatan akupunktur yang diamalkan oleh tabib-tabib cina semenjak ribuan tahun dahulu mampu menghapuskan fikiran negatif, tekanan emosi dan kesakitan fizikal. 

Pada tahun 1930, pengasas perubatan teologi, Dr.Lawrence Bendit dan Phoebe Bendit juga menemui bukti hubungan antara medan tenaga manusia dengan keupayaan penyembuhan tubuh, serta kaitannya dengan kepercayaan agama dan kerohanian.

Perkara ini turut disokong oleh Dr. Schafica Karagulla dari Turki yang telah mendalami fenomena ini dan berjaya mengaitkannya dengan masalah gangguan fikiran otak hinggalah ke perut. Penemuan tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Royal College of Physicians of Edinburgh, yang mana ia merupakan antara anugerah tertinggi dalam bidang perubatan.

Sehinggalah pada tahun 1978, kerjasama tiga orang pakar perubatan, Dr.Richard Dobrin, Dr.John Pierrakos dan Dr.Barbara Ann Brennan berjaya membuktikan bahawa tenaga ini juga mampu menghasilkan sinar cahaya.

Dengan menggunakan alat pengesan cahaya yang amat sensitif, gelombang sinar yang rendah berjaya dikesan dari dalam tubuh manusia. Gelombang cahaya itu wujud daripada getaran sel-sel tubuh manusia sendiri. Penemuan penting itu telah dibukukan dengan tajuk Instrumental Measurements of the Human Energy Field.

Sebenarnya, perihal aura atau cahaya dari dalam tubuh manusia bukanlah sesuatu yang baru, malah ia telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran.

Melalui surah Ali-Imraan, ayat 106, Allah berfirman; “Pada hari (kiamat) kelak yang di waktu itu ada muka yang putih berseri (bercahaya), dan ada pula muka yang hitam muram…”

Perkara ini seterusnya turut dilanjutkan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w yang mafhumnya; “Sesungguhnya umatku akan dipanggil kelak dgn muka dan tangan yang bercahaya dari bekas wuduk…” (HR Bukhari dan Muslim)

Setiap organisma hidup mengeluarkan getaran tenaga berfrekuensi antara 300 hingga 2000 nanometer. Frekuensi ini dinamakan sebagai medan tenaga bio atau bioplasma.  

Dalam tubuh manusia kadar cahaya yang mampu dikesan ialah sehingga 350 nanometer. Kadar cahaya ini amat bergantung pada tahap kesihatan, perasaan dan emosi seseorang. Paling menakjubkan, ia turut mempunyai kaitan dengan kepercayaan keagamaan dan spiritual seseorang.

Penemuan ini turut disahkan oleh Akademi Perubatan Moscow dan disokong melalui penyelidikan di Britain, Belanda, Jerman, Amerika Syarikat dan Poland.

Dengan kata lain, seseorang yang mempunyai tahap kerohanian yang tinggi, akan mengeluarkan tenaga cahaya yang lebih terang dari dalam tubuhnya. Begitu juga sebaliknya.

Melalui kajian-kajian moden, perubahan kekuatan bioplasma dan sinar cahaya oleh getaran tenaga sel itu secara tak langsung telah membenarkan apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram