Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin GAMBAR: Abd Razak Aid

SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar yang dilapor akan keluar daripada Bersatu tidak akan memberi kesan atau melemahkan parti itu.

Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata ini kerana masa depan parti ditentukan oleh jumlah keseluruhan ahli dan bukan oleh seseorang Ahli Parlimen.

“Perjuangan yang dibawa ahli atau sesebuah parti itu lebih mustahak. Ahli Parlimen kadang-kadang mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan perjuangan parti, ideologi parti …segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama, bangsa dan negara.

“Jadi tidak menjadi sesuatu yang boleh menyebabkan parti itu lemah semata-mata atas sikap seorang individu yang hanya memperjuangkan untuk diri dia mungkin,” katanya selepas menghadiri Sesi Dialog pada program Hari Kita Demi Negara Zon Utara anjuran Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata status Santhara, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, dalam Bersatu akan diumumkan kemudian, difahamkan melalui satu mesyuarat tidak lama lagi.

Baca artikel berkaitan: Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi umum keluar Bersatu

Beliau juga enggan mengulas sama ada pucuk pimpinan parti telah menerima surat yang diserahkan oleh Santhara untuk keluar parti seperti didakwa.

Semalam, media melaporkan Santhara, yang menyertai Bersatu pada Ogos 2020 dan dilantik sebagai ketua sayap bersekutu parti itu tahun lepas, didakwa sudah menyerahkan surat untuk keluar daripada Bersatu kepada Hamzah.

Sementara itu, Hamzah berkata Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat berhubung pemilihan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita lantik beberapa syarikat untuk cipta beberapa rekaan untuk kita bincang dan capai kata putus dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya.

Pada 11 Julai lepas, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata logo baharu akan diperkenal untuk digunakan pada PRU15 susulan terdapat cadangan bagi mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram