hukum talkin dan siram kubur

Satu lagi amalan yang seakan menjadi adat yang termaktub dalam syariat apabila imam pasti akan membacakan talkin selepas selesai urusan pengebumian.

Dalam konteks ini sememang tiada tegahan, tetapi bacaan itu perlulah ditujukan kepada yang hidup, sebagai satu iktibar tentang kematian, yang pasti berlaku kepada setiap manusia, bukan ditujukan kepada jenazah.

Apa yang sebenar-benarnya adalah talkin itu haknya ialah mengajarkan kalimah syahadah kepada orang yang hampir mati. Lafaznya pula bukanlah sebagaimana yang dibacakan kini, tetapi memadai dengan kalimah “La Ilaha Illallah.” Inilah yang setepat-tepatnya.

Akan tetapi kini situasinya berubah, talkin dibaca selepas pengebumian. Bahkan lafaznya juga turut berbeza. Adapun tidak ada salah jika selepas pengebumian tidak dibacakan talkin, tetapi cukup memadai dengan tazkirah yang pendek sebagai ingatan atau paling mudah terus sahaja bersurai.

Walaupun begitu seeloknya jika dapat, kita mendoakan keampunan kepada si mati, itu lebih baik. Dan doa itu tidak ada yang spesifiknya, cukup hanya berdoa semoga si mati diampunkan segala dosanya ketika hidup. Dari Usman b. Affan yang pernah berkata bahawa,

“Dahulu apabila nabi s.a.w. selesai dari menguburkan mayat, beliau berdiri di dekatnya dan bersabda, “mohonlah ampunan untuk saudara kalian dan mintakan supaya dia diberi keteguhan, kerana sekarang ini dia sedang ditanya.” (HR Abi Dawud)

Menyiram Air di Kuburan

Selain itu salah satu dari adat yang biasa juga diamalkan dalam masyarakat Melayu ialah menyiram air bunga dan menanam pokok sewaktu menziarahi tanah perkuburan. Ini merupakan babak klise yang biasa dapat dilihat di kaca televisyen drama Melayu.

Dalam hal ini, ulama tidak sependapat berkaitan dengan hukumnya. Bagi Syafie, Hanafi dan Hanbali, mereka sepakat menghukumkan ia sebagai sunat berdalilkan kepada beberapa hadis iaitu, dari riwayat Abu Rafi’ katanya,

“Rasulullah memasukkan Sa’ad di dalam kubur dan merenjiskan air ke atas kuburnya.” (HR Ibnu Majah)

Dan riwayat dari Jaafar b. Muhammad,

“Nabi merenjis ke atas kubur anaknya Ibrahim dan meletak anak-anak batu di atasnya.” (HR al-Baihaqi)

Akan tetapi kedua-dua hadis yang dinyatakan di atas bersifat dhaif. Manakala ulama lain menghukumkannya sebagai amalan yang tidak disyariatkan, kerana tiada dalil yang sahih. Bahkan ia juga tidak memberi apa-apa manfaat kepada si mati.  

Oleh itu amalan ini bukanlah satu kewajipan yang perlu dilakukan. Apabila menziarahi kubur, cukuplah hanya mendoakan si mati agar dipermudahkan segala urusannya di dalam kubur atau setidaknya sedekahkan bacaan al-Fatihah.

Selebihnya jadikanlah waktu menziarahi tersebut dengan bermuhasabah kepada diri sendiri bahawa satu masa nanti kita juga akan berada di tempat tersebut menghadapi soal jawab malaikat Munkar dan Nankir. Itu yang lebih bermanfaat. Wallahu a’lam

_____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare