KERAJAAN negeri yakin pendekatan Keluarga Malaysia akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat negara khususnya rakyat Kelantan merangkumi aspek pembangunan ekonomi, kesejahteraan hidup dan kemakmuran masyarakat, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, ketika rakyat diuji dengan penularan wabak COVID-19 dan krisis ekonomi, Keluarga Malaysia boleh dianggap satu pendekatan yang tepat untuk membawa negara menuju pemulihan dengan sokongan padu seluruh rakyat dalam mengharungi saat- saat mencabar itu.
“Rakyat Kelantan juga menyambut baik semangat toleransi yang berasaskan konsep tasamuh dalam Islam sebagai satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum pelbagai projek pembangunan ekonomi Kelantan
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan majlis perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang juga penyelaras AKM Kelantan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, rakyat Kelantan juga menyambut baik gagasan Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan amat berbesar hati di atas kehadiran Perdana Menteri hari ini sempena program Jelajah AKM Kelantan.
“Ini sekali gus menggambarkan keprihatinan dan kebersamaan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Kelantan serta rakyatnya selain merupakan simbol hubungan erat yang telah terbina, berasaskan konsep federalisme,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

