FILEM epik, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus melakar sejarah apabila mencatatkan kutipan RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia termasuklah Singapura dan Brunei.

Ia sekaligus menjadikan naskhah pecah panggung itu berada pada kutipan tertinggi selepas Avengers:Endgame dengan jumlah RM87 juta dan Munafik 2, RM48 juta.

Pengarahnya, Syamsul Yusof terharu dan bersyukur sehingga menitiskan air mata melihat kejayaan filem anak tempatan.

“Semua yang berlaku dengan izin Allah. Air mata syukur, tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh pasukan produksi amat terharu dengan pencapaian terkini.

“Mengejutkan lagi apabila Mat Kilau menjadi filem nombor satu dalam carta ‘box office’ mingguan untuk lima minggu berturut-turut mengenepikan filem besar Hollywood,” katanya kepada URTV.

Rentetan kejayaan itu, Syamsul berkata, ia membuktikan filem Melayu masih mampu berdiri di bumi sendiri.

“Terima kasih kepada penonton kerana masih terus memberi kepercayaan kepada karya saya kali ini dan semua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem pertama hinggalah sekarang. Insya-Allah moga terus diberi ilham untuk filem akan datang.

“Ini juga terbukti beberapa kali karya filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri. Ini harapan baru pawagam tempatan dan buat semua anak seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia,” ujarnya.

Filem terbitan Studio Kembara yang mula ditayangkan pada 23 JUn lalu itu masih terus ditayangkan di seluruh pawagan berikutan masih mendapat sambutan penonton.

“Masih ditayangkan lagi. Pawagam akan terus tayangkan selagi ada penonton…mungkin boleh ‘pergi’ sehingga dua bulan lebih tempoh tayangan.

“Setakat ini, Mat Kilau masih sedang ditayangkan sekarang ini…masih sedang ‘kuat’ lagi,” tuturnya.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membariskan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Khir Rahman dan ramai lagi.