ANTARA graduan yang pernah berkongsi pengalaman bekerja sebagai pekerja biasa di salah sebuah restoran makanan segera. - Gambar FB Unaa Husnaa

TULAR di media sosial baru-baru ini mengenai seorang gadis berkelulusan ijazah kepujian dalam bidang kimia tetapi bekerja di sebuah restoran makanan segera, menyimpang jauh daripada majoring atau pengkhususan di unversiti.

Gadis tersebut tidak pun merasa kecewa. Malah dia menganggap kerjanya sekarang sebagai sumber rezeki untuk waktu ini, sekurang-kurangnya sehingga mendapat jawatan lebih sesuai kelak.

Namun netizen yang memberi komen pula lebih risau. Bagi mereka, itu tidak seharusnya berlaku. Gadis tersebut sebagai lulusan universiti wajar mendapat jawatan lebih baik, sebaik-baiknya dalam bidang yang dipelajari.

Bagi penulis, gadis ini bersikap proaktif, berpegang kepada prinsip ‘berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak’. Buat kerja mana dapat dahulu asal menghasilkan pendapatan dan tidak bertentangan dengan undang-undang. Tentunya ini lebih baik daripada langsung tidak bekerja.

Kerja tidak semestinya menurut kelulusan akademik. Malah besar kemungkinan kerjaya di luar bidang bilik kuliah akhirnya menjadi serasi dengan diri dan terus menjadi pekerjaan tetap. Seperti kata orang ‘tak kenal maka tak cinta’.

Penulis percaya ramai lagi lulusan universiti di luar sana yang melakukan kerja tanpa menurut bidang kelulusan. Malah dengan cara ini mereka boleh menimba pengalaman serta membentuk diri menjadi individu serba tahu dan serba boleh, yang sangat berguna dalam dunia pekerjaan.

Malah ramai juga lulusan universiti dikatakan bersedia memohon kerja yang memerlukan kelulusan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) walau pun mempunyai ijazah. Yang penting ketika kerja sukar, jangan terlalu memilih.

Memetik statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, graduan berjumnlah 5.29 juta berbanding 4.94 juta pada 2018. Peratusan mereka dalam tenaga buruh pula meningkat daripada 4.14 pada 2018 kepada 4.42 juta pada 2019.

SETIAP tahun ratusan ribu mahasiswa akan tamat pengajian dan memasuki dunia pekerjaan. – Gambar hiasan

Pada tahun 2019, jumlah penganggur siswazah dalam lingkungan 170,300 orang, meningkat daripada 161,300 pada 2018. Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan graduan pula dilaporkan menurun.

Kesimpulan daripada senario ini ialah jumlah lulusan universiti semakin bertambah setiap tahun dan keperluan tenaga keraja di kalangan mereka meningkat. Namun pengambilan graduan dalam sektor pekerjaan pula menurun.

Dalam situasi ini tidak hairan ramai graduan mencari jalan keluar dengan tidak terlalu memilih kerja, walau pun di luar bidang pengkhususan atau yang memerlukan kelayakan lebih rendah. Yang penting ada dahan untuk berpaut.

Malah terdapat keadaan di mana pemberi biasiswa atau penaja yang meleraikan ikatan perjanjian dengan pelajar kerana tidak dapat menyediakan pekerjaan kepada pelajar tajaan.

Justeru bekerja di lain bidang selain kelulusan adalah biasa sekarang. Sewaktu penulis bertugas di salah sebuah syarikat akhbar tenama dahulu, ramai wartawan yang bukan berlatar belakang dalam bidang kewartawanan atau Komunikasi Massa.

Ada di antaranya berkelulusan Zoologi, Perancang Bandar, Undang-Undang dan lain-lain. Namun mereka berjaya menjadi wartawan yang bagus. Malah kelulusan mereka banyak membantu apabila menulis topik khusus berkaitan dengan bidang pengajian.

Graduan kini terpaksa bersaing mencari kerja. Kekosongan jawatan lebih sedikit berbanding jumlah siswazah menjadikan saingan lebih sengit. Keadaan jauh berbeza dengan tahun 60-an atau 70-an apabila sebelum keluar universiti pun pekerjaan sudah menunggu.

BERITA BERKAITAN Merungkai lambakan siswazah menganggur bumiputera

Peringkat awal hanya ada Universiti Malaya. Kemudian baru wujud Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) atau nama assalnya Universiti Pulau Pinang serta Universiti Pertanian Malaysia (UPM) atau kini Universiti Putra Malaysia.

Namun dengan kemajuan negara dan evolusi pendidikan, semakin banyak Institut Pengajian Tinggi Awam (IPPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) diwujudkan. Jadi lumrahnya lebih ramai graduan dihasilkan dan lebih ramai bersaing untuk mendapat kerja.

Jika ada pihak yang kesal kerana setelah belajar ke menara gading masih belum beroleh pekerjaan atau kerja tidak sepadan, serta menyalahkan universiti, elok ubah sikap ini. Belajar di IPT dan tidak memperoleh pekerjaan adalah dua isu berlainan.

Tugas IPT ialah menyediakan pelajar dengan pelbagai cabang pengkhususan untuk melengkapi mereka dengan keperluan pasaran. Tetapi IPT tidak bertanggung jawab menyediakan pekerjaan. Apabila telah lulus, pelajar perlu berjuang sendiri untuk mencari kerja.

Cuma tanggung jawab IPT ialah dari masa ke masa mengkaji kesesuaian kursus yang ditawarkan agar selari dengan keperluan pasaran. Kursus yang sudah tidak relevan ditamatkan, kursus baharu diperkenal. Beberapa buah IPTA telah melaksanakan langkah ini kebelakangan ini.

Siswazah juga perlu membentuk diri agar memiliki pakej personaliti lengkap. Sekadar ilmu di bilik kuliah sahaja tidak mencukupi. Semua yang mohon kerja asasnya sama, memiliki sekeping ijazah. Akhirnya penampilan, ketrampilan diri serta kebijaksanaan calon yang mampu meyakinkan majikan untuk memilih mereka.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram